Kenapa cemburu dengan Kelantan

- Advertisement -

KELANTAN diperintah oleh PAS, bukan oleh Umno. PAS masih pembangkang di negara ini. Pelik, tiba-tiba Pakatan Harapan (PH)  hendak rampas Kelantan. Kenapa tidak sibuk untuk tawan Johor, Melaka dan negeri yang sewaktu dengannya. Saya harap pemimpin PH masih normal. Lim Kit Siang pula telah isytihar, bakal Menteri Besar Kelantan ialah Datuk Husam Musa. Siapa Lim Kit Siang di dalam PH sehingga boleh isytihar siapa Menteri Besar Kelantan jika PH menang.

- Advertisement -

Sahlah memang DAP merupakan Abang Long di dalam PH. Ketika penyokong Tun Dr Mahathir dan DS Anwar hendak tabal siapa yang akan mengetuai PH, Lim Kit Siang tidak perlu sibuk berebut  Untuk menempatkan diri sebagai ketua tetapi cukup dengan kuasa untuk mencatur siapa yang dia hendak di dalam PH. Begitulah suasana politik negara, walau pun dap tidak menjadi Perdana Menteri tetapi hala tuju kepimpinan akan disusun oleh DAP apabila PH menang nanti.

Adakah apabila PH menang di Kelantan mereka akan kekalkan Enakmen Jenayah Syariah Il 1993 (pindaan 2015). Adakah semua syiar Islam dan program yang berciri Islam akan dikekalkan.  Ini pun rakyat Kelantan hendak tahu juga.  Apakah nasib Kelantan sama seperti Terengganu selepas Umno menang pada tahun 2004 sehingga Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 disimpan begitu sahaja? Adakah DAP redha dengan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan? Adakah peraturan menutup aurat, peraturan gunting rambut lain jantina akan dikekalkan?

Sedangkan enakmen inilah yang menjadi pertikaian hebat ketika PAS bersama Pakatan Rakyat. Pemimpin dap menentang kuat, walau pun almarhum Tuan Guru Nik Aziz keras mempertahan. Semua maklum bahawa DAP tidak iktiraf perjuangan bangsa dan agama di negara ini. Inikah wajah Kelantan yang akan wujud? Adakah ini wajah Islam rahmatan lil alamin yang direstui oleh DAP.

Insya Allah rakyat Kelantan tidak rela pembangunan Islam yang dibina selama ini akan musnah. Rakyat Kelantan sudah tahu apa agenda Umno dan PH jika mereka berkuasa. Alhamdulillah pemimpin PAS yang mentadbir Kelantan tidak lagi dituduh salah laku oleh SPRM. Pemimpin yang cakap serupa dengan bikin.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
6 Syawal 1438 / 30 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 30/6/2017

- Advertisement -