Perutusan Eidul Fitr Datuk Iskandar A. Samad

- Advertisement -

SAYA mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidul Fitr kepada seluruh umat Islam di mana sahaja mereka berada.

- Advertisement -

Saya juga ingin memohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan dan kesilapan.

Semoga peningkatan amal ibadah pada bulan Ramadhan yang lepas akan terus dikekalkan.

Ketika kita meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, janganlah kita melupakan nasib  umat Islam yang tidak dapat bergembira seperti kita. Sambutlah Hari Raya secara sederhana dan doakan penderitaan umat Islam di Palestin, Syria, Rohingya dan negara-negara lain akan berakhir.

Marilah kita menggunakan peluang di hari yang mulia ini untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kita tanpa mengira bangsa dan agama.

Satu fenomena yang baru telah melanda pada bulan Ramadhan yang lepas. Ramai Ahli-Ahli Dewan Negeri beragama Islam di Selangor telah menganjurkan majlis-majlis berbuka puasa antara budaya yang menjemput masyarakat bukan Islam untuk bersama-sama berbuka puasa.

Majlis-majlis seperti ini telah dianjurkan di negara-negara di mana umat Islam adalah minoriti seperti di Eropah. Ia telah dapat merapatkan jurang di antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Ini penting ketika terdapat prejudis terhadap masyarakat Islam akibat perkembangan terkini dunia.

Di Selangor, majlis-majlis itu telah memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. Ia dapat meningkatkan kefahaman terhadap Islam dan mengurangkan sebarang tanggapan
yang tidak tepat.

Ini amat penting bagi negeri yang berbilang kaum seperti Selangor di mana perlu wujud persefahaman dan kerjasama di antara pelbagai kaum. Ia adalah satu realiti yang tidak dapat dinafikan.

Majlis-majlis itu juga dapat menyatukan rakyat sesuai dengan Islam sebagai rahmat sekelian alam.

Alhamdulillah rakyat Selangor dapat hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera. Kerjasama di peringkat kerajaan negeri juga telah berjalan dengan baik dan rakyat telah menerima pelbagai manfaat dari satu gandingan yang mantap.

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama berdoa dan berharap agar negeri Selangor kekal ditadbir dengan cemerlang. Kita bersyukur kerana kejayaan kita di Selangor telah diiktiraf oleh kawan dan lawan.

Semoga tradisi bakti untuk semua akan diteruskan.

Bakti Untuk Semua

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
1 Syawal 1417 / 25 JUN 2017 – HARAKAHDAILY 25/6/2017

- Advertisement -