ALHAMDULILLAH, kita telah menyempurnakan Ramadhan. Pejuang-pejuang Islam sangat beruntung kerana di bulan Ramadhan, al Quran yang kita tadarus merupakan dasar kita sendiri. Ini bermakna kita sedang membaca dasar-dasar perjuangan kita yang termaktub dalam Al Quran. Pejuang-pejuang sekular teramat rugi kerana mereka tidak mempunyai kitab untuk mereka tadarus. Jika mereka tadarus Al Quran sekalipun, kitab itu tidak mereka jadikan sebagai dasar. Sebab itu menjadi seorang pejuang Islam benar-benar suatu tuah yang diberikan oleh Allah Taala.
Ramadhan mengajar kita untuk cakna kepada orang yang tidak berkemampuan. Allah Taala menciptakan di dunia ini orang-orang kurang berkemampuan untuk menjadi ujian kepada orang-orang yang mampu. Di akhirat nanti akan ditanya, setakat mana orang-orang yang mampu ini menghulurkan bantuan kepada orang-orang yang kurang mampu. Sebab itu saudara-saudara kita yang kurang mampu sedikit untung sebab terlepas soalan ini di akhirat nanti. Manakala yang berkemampuan perlu pastikan duit kita pada hari ini kita peruntukan untuk beli pahala selain beli pakaian, laut pauk, beras dan keperluan hidup. Bila kita membeli belah di kedai, kita tukar duit dengan barang, sebab itu kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di depan mata. Namun sedarkah kita bila kita laburkan duit untuk kebaikan, seperti kita beli pahala dengan duit kita. Walaupun pahala ini benda tak nampak, tapi itulah saham kita di akhirat.
Sahabat-sahabat Nabi Radiallahuanhum, juga hadir dari pelbagai latar belakang. Antara mereka golonggan Ahlus Suffah yang tak memiliki apa-apa. Menjadikan bilik-bilik berhampiran Masjid Nabi di Madinah sebagai tempat tinggal. Antaranya Abu Hurairah r.a. sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis, Tetapi kekurangan dan kemiskinan tidak sama sekali dijadikan alasan untuk meminggirkan diri dari perjuangan. Mereka adalah pejuang-pejuang saf hadapan di medan jihad, hafal Al Quran serta tinggi ilmu pengetahuan.
Ada sahabat yang dianugerahkan kekayaan seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf radiallahuanhuma. Kekayaan mereka berdua adalah rahmat bagi golongan fakir dan miskin.
Sungguh murni ajaran agama Allah. Islam telah mengajar kita, rezeki yang mengalir ke kantung kita, bukan milik kita seorang. Ianya juga adalah milik orang lain yang diamanahkan melalui poket kita. Dari sinilah lahirlah sebuah masyarakat yang hebat, penuh rahmat dan kasih sayang antara sesama hamba Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):
Bila tiba malam idul fitri yang dipanggil malam pembahagian hadiah maka pada pagi harinya diutuskan para malaikat yang berdiri di persimpangan jalan sambil berseru dengan suara lantang yang didengar oleh semua kecuali jin dan manusia. Hai manusia! Keluarlah kamu kepada Tuhan kamu yang pemurah, memberi yang besar dan mengampunkan dosa-dosa besar. Maka apabila mereka telah keluar untuk menunaikan solat Idul fitri, Allah berfirman kepada para Malaikat.
Hai Malaikatku, bagaimana upah untuk seorang buruh bila dia telah selesai melakukan pekerjaannya?
Jawab para Malaikat; Upahnya mesti dilunaskan segera.
Maka Allah berfirman; Saksikanlah wahai Malaikat bahawa pahala puasa dan bangun malam Ramadhan itu keredhaanku dan keampunanku.
Kemudian Allah berfirman; Mintalah wahai hambaku. Demi kemulianku dan kebesaranku tiadalah kamu minta urusan dunia dan agama melainkan aku berikan kepadamu.
Allah tidak pernah menghalang fitrah manusia yang mahukan kegembiraan. Fitrah ini perlu disalurkan mengikut kehendak Allah. Semasa berada selama 13 tahun di Mekah, umat Islam susah nak bergembira dan mengamalkan agama kerana penindasan kerajaan Mushrikin Mekah.
Nikmat kebebasan beragama dan berhari raya hanya mulai dirasai setelah berhijrah ke Madinah. Kesimpulannya hari raya yang disambut umat Islam bukan hanya sambutan anjuran kerajaan tetapi ia adalah anjuran Allah Penguasa Alam, sehingga puasa pada hari ni pun diharamkan sama sekali. Bahkan sesiapa yang cuba berpuasa pada hari itu akan berdosa.
Sambutan hari raya yang disertai takbir adalah manifestasi syukur kepada Allah yang telah mengurniakan hidayahNya kepada kita. Ini difahami dari firman Allah:
يُريدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسرَ وَلا يُريدُ بِكُمُ العُسرَ وَلِتُكمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلىٰ ما هَدىٰكُم وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Ertinya: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.
Hidayah itu pula bukan menjadi milik kita yang boleh diambil atau dibuang dengan mudah seperti kita menekan atau menutup suis lampu di rumah kita. Ia adalah milik mutlak Allah, namun tingkah laku kita juga memainkan peranan untuk memudahkan hidayah Allah menjengah masuk ke hati kita. Ini berdasarkan firman Allah:
وَالَّذينَ اهتَدَوا زادَهُم هُدًى وَءاتىٰهُم تَقوىٰهُم
Ertinya: Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayat petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa (Muhammad[47:17]).
Bulan Ramadhan yang baru berlalu adalah bulan puja al-Quran. Selain hari raya yang menjadi sambutan tahunan, umat Islam juga perlu mendengar khutbah mingguan pada hari Jumaat.
Antara rukun yang perlu dilaksanakan dalam khutbah mingguan atau tahunan ini adalah untuk mendengar bacaan ayat al-Quran tanpa mengira jenis ayatnya. Rukun ini bertujuan mengajar umat Islam untuk menghayati al-Quran secara konsisten.
Dengan ini, umat Islam akan sedar fungsi al-Quran kepada kehidupan mereka.
Islam wajib diamalkan secara penuh sebagaimana firman Allah:
Ertinya: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu (al-Baqarah 2:208).
Para pemimpin yang hanya mengambil ajaran Islam secara terpilih samalah seperti seorang pemimpin yang melonggarkan skru pada tayar kereta. Akibatnya rakyat bawahan yang lebih jahil akan terus membuang skru yang sudah sedia dilonggarkan oleh para pemimpin yang jahil. Atau tayar tersebut yang digunakan oleh rakyat jelata akan senang tercabut apabila bergerak. Ini analogi bagaimana rakyat secara jelas meninggalkan agama yang berpunca daripada kejahilan dan kelonggaran pemimpin.