Pengguna pengangkutan awam darat berisiko terjejas

- Advertisement -

PERGERAKAN lebih sejuta pengguna harian pengangkutan awam darat berisiko terganggu oleh kemungkinan pelbagai polisi baharu ekoran pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD). ‘Politiking’ dan rekod buruknya menerajui Felda Global Ventures Holding Berhad dikhuatiri akan dibawanya dalam menerajui SPAD.

- Advertisement -

sepatMalah, hasrat Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk mentransformasikan pengangkutan awam juga akan terjejas oleh pelbagai eksperimen bakal dilaksanakan Isa. Maka, impian menyediakan sistem pengangkutan awam berkualiti dan cekap dalam merealisasi hasrat menjadi negara maju akan dipenuhi kacau bilau.

Inisiatif untuk menangani keperluan awam menurut relevansi yang seiring serta memenuhi standard negara maju secara holistik, tentunya sukar menjadi kenyataan. Individu seperti Isa yang terkenal dengan sikap joli dan mengumpul kekayaan hanya akan menjadikan SPAD lubuk mengaut kepentingan. Kroni akan diutamakan, sementara pengguna dan operator terlibat akan menjadi mangsa sasaran.

Sedangkan, pengguna aktif pengangkutan awam darat adalah termasuk golongan pendokong pertumbuhan sosio ekonomi. Malah menyumbang kepada peningkatan taraf hidup, produktiviti, pelaburan dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi ke arah kesejahteraan rakyat. Sehingga kini kami melihat berlaku peningkatan kualiti perkhidmatan dan mengatasi masalah lainnya.

Malangnya, jika berlaku ‘politiking’ yang memberi bebanan kepada pengguna dan operator pengangkutan awam darat, banyak kitaran dan perkaitan akan terjejas semula, bahkan turut mengubah sikap kepenggunaan awam dan landskap sosial. Apakah Perdana Menteri mahu berundur ke belakang semula untuk meyakinkan dan membina kecenderungan awam menggunakan perkhidmatan tersedia?

Penolakan disuarakan Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah dan Pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubaharin Ismail serta ramai lagi yang bakal menyusul perlu diberi pertimbangan serius. Hakikatnya, masih ramai individu berkelayakan yang sesuai berada di posisi penting itu.

Perdana Menteri tidak sewajarnya memperjudikan keperluan dan keselesaan jutaan rakyat yang menjadi pengguna harian pengangkutan awam darat serta sasaran capaian negara semata-mata kerana seorang individu berkepentingan. Isa bukan sahaja individu bermasalah, bahkan tarikhnya telah luput yang sewajarnya Isa dimuziumkan atau ‘disimpan’ sahaja dalam lipatan sejarah.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi
Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia
21 Jun 2017 | 26 Ramadan 1438 – HARAKAHDAILY 21/6/2017

- Advertisement -