Pemantauan berterusan tangani jualan arak

- Advertisement -

PENJUALAN arak di kedai runcit dan serbaneka di negeri ini masih memerlukan pemantauan berterusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ini selaras dengan keputusan diambil Kerajaan Negeri Melaka yang menguatkuasakan pengharaman penjualannya dua tahun lalu. Iaitu melibatkan kawasan yang taburan populasi penduduknya adalah majoriti Melayu Islam.

- Advertisement -

Motifnya boleh difahami bertujuan menghindar penjualan arak kepada orang Islam di mana inisiatif tersebut sangat terpuji dan strategik serta boleh dicontohi. Malah, ‘menyelamatkan’ juga rata-rata pekerja Muslim yang bekerja di premis itu daripada bersubahat tanpa rela dan termasuk golongan dilaknat Allah kerana terlibat dalam hal ehwal berkaitan arak.

Namun, masih terdapat premis yang menjual arak dalam peti sejuk terbuka dan sudah tentulah kerana wujudnya ‘permintaan’. Peniaga sepatutnya mendokong peraturan ditetapkan dan cita-cita murni yang dihasratkan, tetapi pelanggarannya mungkin dipengaruhi faktor keuntungan. Terdapat juga peniaga beralasan bahawa minuman yang dijual itu tidak termasuk dalam kategori arak.

Kami menyedari terdapat kelompangan pada terma undang-undang dalam pengkelasan kategori dan jenis atau definisi arak yang dijual. Ini tanggungjawab Dewan Undangan Negeri Melaka untuk menggubal atau meminda bahagian berkaitan. Tetapi yang penting sekarang adalah semua pihak menjayakan tujuannya, iaitu penjualan arak kepada orang Islam tidak boleh berlaku sama sekali.

Di dalam Islam, arak adalah punca segala maksiat, kerosakan dan kejahatan; betapa ia menerbitkan banyak kesan negatif. Dalam data nasional mahupun antarabangsa terdapat banyak persamaan kes. Sebagai penyebab kematian dan kecederaan; punca penyakit kronik seperti kardiovaskular, kanser mulut, payu dara dan hati; juga kecelaruan mental dan tingkah laku.

Arak juga penyumbang keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak, pencetus pergaduhan; selain kesan mabuk antara penyebab jenayah rogol; dan ketagihan arak dilaporkan lebih sukar diubati berbanding dadah. Maka, jika kita jujur mengakui semua keterangan ini, apakah wajar ia terus dijual semata-mata mengejar keuntungan?

Kami menasihati seluruh rakyat khususnya umat Islam agar tidak mendampingi, bahkan menjauhi arak. Keseronokan dan ketenangan dari arak hanyalah satu kepalsuan yang ianya adalah tipu daya syaitan. Kerajaan juga perlukan keazaman politik yang lebih kuat agar segala perkara berkaitan arak dapat ditangani agar jangan jadi seperti kata pepatah, “Ayam terlepas, tangan berbau tahi”.

USTAZ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka
21 Jun 2017 | 26 Ramadan 1438 – HARAKAHDAILY 21/6/2017

BantahArak 4

BantahArak 3

BantahArak 2

- Advertisement -