DMPM sambut baik CIMB perkenal cuti paterniti kepada suami

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyambut baik dasar baru yang diperkenalkan oleh CIMB Bank Bhd iaitu cuti paterniti berbayar selama sebulan kepada kakitangannya bagi membolehkan golongan bapa meluangkan lebih banyak masa bersama anak pertama dan berkongsi tanggungjawab dalam menyambut kelahiran baharu.
 
Polisi ini ternyata seiring dengan cuti 90 hari kepada penjawat awam wanita yang pertama kali diimplementasikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan kemudiannya diikuti oleh Selangor serta Kerajaan Pusat. Polisi-polisi yang menjaga kebajikan pekerja begini amat wajar dipuji dan patut dipertimbangkan untuk dilaksanakan oleh para majikan yang lain.

- Advertisement -

Namun begitu, DMPM mencadangkan agar polisi ini tidak dihadkan kepada kelahiran anak sulung sahaja kerana keberadaan suami di sisi isteri yang baru bersalin amat penting di setiap kelahiran. Ini kerana, para ibu yang telah melalui apa saja situasi semasa kelahiran pasti memerlukan sokongan moral dan emosi dari pasangan masing-masing bagi mengembalikan tenaga dan semangat mereka untuk menjaga keluarga yang telah bertambah ahlinya. Bahkan, melalui tempoh berpantang sambil menjaga anak-anak lain pada waktu yang sama adalah jauh lebih rumit berbanding berpantang anak sulung.

Oleh yang demikian, DMPM mencadangkan agar polisi ini diberikan fleksibiliti seperti membenarkan kakitangan mengambil cuti mengikut keperluan hari yang diperlukan untuk anak sulung supaya sebahagian lagi dapat diperuntukkan untuk kelahiran seterusnya. Polisi ini juga dilihat dapat membantu mengatasi masalah ‘post-partum depression’ yang boleh dialami oleh wanita selepas melahirkan anak.

Firman Allah bermaksud: Dan orang orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Al Furqon: 74)

Akhir kata, DMPM mengucapkan tahniah kepada CIMB Bank Bhd kerana memperkenal polisi baru ini yang pasti memberi manfaat yang besar kepada institusi keluarga para kakitangannya.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

Dr Rosni Adam
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
26 Ramadan 1438 / 21 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 21/6/2017                       

- Advertisement -