Rumah Kos Rendah PJS1: Kerajaan Selangor jadi orang tengah

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Selangor melalui Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan, Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Puan Haniza Talha telah sejak tahun 2008 membantu untuk menyelesaikan masalah pembinaan Rumah Pangsa Kos Rendah 276 unit di PJS1, Petaling Jaya oleh pemaju Peter’s Brickworks Sdn Bhd.

- Advertisement -

Kerajaan Negeri juga telah mengadakan banyak perbincangan dengan pemaju dan pembeli.

Para pembeli telah mengemukakan tuntutan-tuntutan terhadap pemaju berkaitan kelewatan pembinaan pembangunan tersebut dan pemaju telah mengemukakan cadangan balas mereka.

Kerajaan Negeri pula telah bertindak sebagai fasilitator untuk menyelesaikan pertelingkahan di antara pemaju dan pembeli.

Pada mesyuarat terakhir dengan pemaju pada 13 April 2017, pemaju telah menyatakan pendirian untuk menolak perkara-perkara berikut yang menurut mereka dituntut oleh para pembeli,

1. Bayaran “LAD” sebanyak RM15,000.

2. Pengecualian bayaran faedah dan/atau denda lewat yang dituntut oleh AmBank Berhad.

Oleh yang demikian, mesyuarat tersebut telah meminta pemaju mempertimbangkan agar Rumah Kos Rendah itu diubah kepada Rumah Selangorku dengan keluasan melebihi 650 kaki persegi tanpa sebarang bayaran tambahan.

Pihak MBPJ bersedia memberi kerjasama kepada pemaju untuk mengubah projek ini kepada Rumah Selangorku.

Walau bagaimanapun, ia adalah tertakluk kepada rundingan di antara pemaju dan pembeli.

Adalah tidak adil jika projek perumahan ini dibatalkan dan sekali-gus menghampakan para pembeli rumah yang telah sekian lama menunggu.

Oleh yang demikian, sebarang pembatalan mestilah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Kerajaan Negeri berharap satu penyelesaian yang saksama dapat dicapai.

Kerajaan Negeri telah berusaha hampir 9 tahun untuk memastikan pemaju dan pembeli dapat mencapai persetujuan tersebut.

Dengan itu, Kerajaan Negeri berharap kedua-dua pihak akan terus melakukan rundingan dan bersedia membantu jika diminta.

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
20 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 20/6/2017