Misi bantuan kecemasan PASRelief untuk Rohingya

- Advertisement -

PUSAT Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah menggerakkan Misi Kecemasan Taufan Mora Pelarian Rohingya dan berjaya menyempurnakan tindakan pasukan pertama di Kem Balukhali, Cox’s Bazaar, Bangladesh pada 15 hingga 17 Jun lalu.

- Advertisement -

rohi1Pasukan diketuai Bendahari, Mohd Adram Musa dan disertai Timbalan Presiden MAPIM, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman serta sukarelawan PASRelief, Anuardi Abu Bakar itu berjaya menyampaikan bantuan bernilai RM21,000 kepada para mangsa yang terjejas teruk akibat dilanda bencana tersebut pada kejadian awal Ramadan lalu.

Bantuan yang terdana hasil sumbangan orang ramai itu meliputi bungkusan keperluan makanan untuk 100 keluarga dan jamuan berbuka puasa untuk 600 pelarian serta pembaikan dan pembinaan rumah perlindungan.

Menurut Mohd Adram, rumah perlindungan yang dihuni para pelarian terjejas dengan amat teruk hingga menjadikan keadaan di kem padat itu bertambah daif, setelah juga menerima pertambahan jumlah pelarian hampir setiap hari.

Ketika sama ujarnya, susulan bantuan berfokus perlu dilakukan terutama perhatian berkaitan pendidikan anak-anak pelarian Rohingya itu dengan harapan membebaskan mereka dari cengkaman kemiskinan ilmu.

Sementara itu pasukan kedua diketuai Pengarah, Muhammad Sanusi Md Nor pula telah menggerakkan misi bermula semalam bersama lima anggota dengan membawa bantuan ke kem pelarian di Sittwe, Myanmar dan akan pulang pada 22 Jun nanti.

Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan sukarelawan, Faizah Fadzil serta wakil Cakna Palestin, Abd Shakur Sharrie, selain disertai lagi oleh Ustaz Ahmad Tarmizi dan Anuardi.

Pasukan ini akan mengedarkan 540 bungkusan keperluan makanan di lima kem berasingan, serta membuat ziarah bantuan makanan ke perkampungan dan kem Rohingya sekitar Sittwe yang dilanda Taufan Mora.

Menurut Sanusi, pihak PASRelief juga akan membuat tinjauan keperluan mendesak mangsa serta melancarkan dana khusus untuk membina semula kediaman yang musnah, tambahan pula pihak media Myanmar dan antarabangsa tidak membuat laporan terperinci bencana itu.

Maklumnya juga, PASRelief dalam usaha membina lima telaga tiub di lima lokasi terpilih dan sedang mengusahakan pertemuan dengan pihak berkuasa Myanmar bagi merundingkan ‘Unity Flotilla’ ke Sittwe.

Beliau turut mengumumkan bahawa pihaknya telah mendapat kerjasama dan persetujuan dari NGO dari negara lain bagi membina 100 rumah perlindungan untuk mangsa.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang boleh menyalurkan ke Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PAS Pusat (Maybank 5640 7061 1352) dan boleh mendapatkan keterangan lanjut dari beliau di talian 012-596 9220.

Juga boleh hubungi Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (019-984 3277), Ustazah Nuridah Mohd Salleh (013-920 5012), Mohd Adram Musa (013-384 5555) atau Ustaz Norazli Musa (019-571 0933). – HARAKAHDAILY 19/6/2017

- Advertisement -