Menongkah masalah pengangguran anak muda

khairil
- Advertisement -

1. GENERASI muda perlu mencabar keupayaan diri dalam usaha memburu pekerjaan dengan menjauhi pendekatan terlalu memilih dan mengharap mudah, terutama di saat negara sedang berhadapan kemerosotan ekonomi global. Anak muda tidak harus terus merasa berada di zon selesa, sebaliknya meningkatkan keazaman yang tinggi tanpa mengenal erti putus asa untuk mencipta kecemerlangan di bidang kerjaya.

- Advertisement -

2. Kerana pada situasi ekonomi semasa, generasi muda merupakan kelompok yang menerima impak negatif paling teruk sebagaimana Laporan Tahunan Bank Negara 2016. Kadar pengangguran generasi muda peringkat global terus meningkat ke kemuncaknya pada kadar 13.2 peratus pada tahun 2013 berbanding 11.7 peratus pada tahun 2007. Manakala bagi tahun 2016, kadar pengganguran ini dijangka kekal pada kadar 13.1 peratus.

3. Kadar pengangguran generasi muda juga melanda Malaysia di mana telah mencecah 10.7 peratus pada tahun 2015; kesan peningkatan sebanyak 1.2 peratus daripada kadar jangkaan asal iaitu 9.5 peratus. Laporan itu turut mendedahkan bahawa generasi muda ini mewakili lebih daripada 50 peratus jumlah keseluruhan penganggur di Malaysia.
 
4. Penurunan kadar tawaran kerja kepada generasi muda terus berlaku semenjak tahun 2014 di mana mereka menjadi golongan yang terakhir dipilih oleh majikan untuk diambil bekerja. Antara faktornya ialah generasi muda masih kurang pengalaman dan kelemahan dalam ‘skill’ berkomunikasi secara efektif terhadap majikan.

5. Pada ketika prestasi semasa ekonomi Malaysia masih belum pulih sepenuhnya daripada impak krisis ekonomi global, generasi muda tidak sewajarnya diketepikan dan menjadi mangsa keadaan. Kami berpandangan, penyelesaian kepada masalah penggangguran generasi muda ini memerlukan kerjasama erat dan kesungguhan semua pihak. Mereka wajar diberikan peluang untuk berperanan lebih besar dalam sektor pekerjaan.

6. Para majikan diharapkan agar sedia membuka pintu lebih terbuka kepada generasi muda yang berminat untuk bekerja dengan mereka. Generasi muda ini perlu diberikan peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman supaya daya inovasi dan kreativiti yang mereka punyai dapat dimanfaatkan bagi menjana produktiviti secara bersama antara pekerja dan majikan. Kaedah memberi joran adalah lebih baik daripada terus memberikan ikan agar mereka punyai daya saing dan usaha gigih untuk berjaya.

7. Turut disaran, pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Belia dan Sukan menitikberatkan aspek modul pembangunan sumber manusia. Terutama ke arah peningkatan kemahiran di institut pengajian tinggi agar generasi terpelajar ini mampu berhadapan dengan cabaran realiti dunia sebenar alam pekerjaan.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia
19 Jun 2017 | 24 Ramadan 1438 – HARAKAHDAILY 19/6/2017

- Advertisement -