Majlis Iftar Gay: Signal kecelaruan aqidah umat makin parah

NURIDAH1
- Advertisement -

PERKEMBANGAN umat Islam hari ini dilihat semakin membimbangkan. Minggu lalu, kita dihebohkan dengan berita penganjuran Majlis Iftar Gay terbesar di Malaysia. Majlis tersebut diadakan pada 10 Jun lalu di Pejabat Peguam, Bangsar.

- Advertisement -

Sementara itu, penganjuran program gereja Jerusalem’s Jubilee yang disifatkan mempunyai agenda ‘budaya Yahudi’ pada awal Ramadan baru-baru ini turut mencemarkan imej agama Islam. Program yang dijadualkan berlangsung pada 15-18 Jun itu walau bagaimanapun berjaya dihalang.

Isu terkini melibatkan kecelaruan aqidah umat Islam kita hari ini perlu diberi perhatian secara serius. Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia melihat ia satu kerosakan aqidah yang parah dan perlu ditangani sebaiknya. Islam yang padanya terkandung pelbagai jalan penyelesaian perlu dihayati dan diaplikasikan sebaiknya. Al-Quran yang diwahyukan perlu dijadikan panduan sejajar dengan perintah Allah S.W.T untuk mendorong hambaNya pada jalan yang benar.

Sesungguhnya Allah S.WT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 2 dan 3 yang bermaksud: “Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang, serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Sebagai umat Islam yang menyakini hari pembalasan, kita seharusnya kesal dengan penganjuran program-program yang jelas mencemarkan kesucian agama terutama di bulan Ramadan yang mulia ini. Bantahan perlu dizahirkan bagi mempertahankan kemurnian Islam di negara kita.

Tidak dinafikan, Malaysia merupakan negara yang berbilang bangsa dan agama. Meraikan kepelbagaian itu merupakan sikap mulia yang dianjurkan dalam Islam. Namun begitu, ia perlu dibezakan dan dikawal supaya musuh Islam tidak sewenangnya mempermainkan agama rasmi negara kita. Lagi menyedihkan apabila sesuatu program yang mencalar imej Islam itu dianjurkan oleh umat Islam sendiri.

Justeru, kami menyeru semua umat Islam untuk bangkit mempertahankan agama suci kita. Jangan dibiarkan ia berleluasa sehingga menggugat keharmonian Islam. Sama-samalah kita sebarkan kebenaran. Kami menggesa dan mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan serius ke atas episod-episod duka umat Islam ini.

Akhirnya, marilah sama-sama kita doakan kebaikan dan hidayah mengiringi kita semua. Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia sentiasa bersedia memberi penjelasan secara berhikmah kepada  semua. Semoga Islam terpelihara dan kita semua tergolong dari kalangan hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Siiru ‘ala barakatillah.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
24 Ramadan 1438H | 19 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 19/6/2017                      

- Advertisement -