IJTIMAK Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) yang akan diadakan pada 20 hingga 22 Julai ini akan menyatakan pendirian terhadap krisis Asia Barat termasuk Qatar.
Selain itu membincang mengenai Islamphobia dan menjawab gambaran negatif terhadap Islam.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ijtimak tersebut melibatkan seramai 600 wakil gerakan Islam dari 17 negara.
“Adalah dijangka lebih 100,000 orang Islam akan memenuhi Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bagi mengikuti Ijtimak Kelantan 2017,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.
Turut hadir Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob; Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan ketua penerangan, Datuk Nassuruddin Daud.
Kelantan dipilih sebagai lokasi keempat penganjuran ijtimak terbabit.
Tiga aktiviti yang akan berlangsung serentak sempena program berkenaan.
Antara lokasi Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Kelantan Trade Center (KTC).
Manakala himpunan perdana akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV. Seminar Dakwah Antarabangsa Rantau Asia di Dewan Jubli Perak MPKB BRI dan Nadwah Ulamak Antarabangsa Rantau Asia di KTC.
“Ceramah umum pimpinan gerakan Islam, gerai pameran serta gerai jualan yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2017