Lembah Binjai: Pemuda PAS sokong diteruskan

- Advertisement -

PROJEK pembangunan Lembah Binjai di Zon A seluas 45 ekar yang melibatkan 144 lot perlu diteruskan demi manfaat kepada semua rakyat Kelantan termasuklah pemilik asal tanah di sini. Ia adalah satu petunjuk asas kepada pembangunan di lembah ini dalam zon zon lainnya selepas daripada ini.

- Advertisement -

Atas semangat Merakyatkan Membangun Bersama Islam, Kerajaan Negeri Kelantan pada hemat kami telah sedaya upaya berusaha demi menyediakan keselesaan dan kebaikan kepada seluruh rakyat negeri ini. Era Kelantan dituduh miskin, mundur, tidak maju, tidak pandai ditadbir dan sebagainya telah berlalu.

Namun kini, apabila pembangunan dan kemajuan mulai berkembang pesat, muncul pula suara suara sumbang yang menolak setiap pembangunan yang dibawa untuk rakyat terbanyak negeri ini. Amat menyedihkan.

Suka untuk kami ulangi bahawa tanah di lembangan ini memiliki sifat dan keluasan yang unik. Dengan saiz yang kecil dan terhad, serta pemilikan yang ramai di atas satu satu lot, ia memang akan mengalami kesukaran untuk dibangunkan pada masa hadapan. Dan sudah pasti pembangunan secara berkelompok ini menjadi satu kaedah terbaik untuk semua pihak. Lot 350 sebagai contohnya, dengan keluasan 205 depa dimiliki oleh 3 penama. Lot 374 pula seluas 1.335 ekar dibahagi kepada 8 bahagian. Lot 386 juga amat terhad dengan keluasan hanya 170 depa dimiliki oleh 6 penama. Lot 391 seluas 110 depa dibahagi kepada 4 bahagian. Seterusnya adalah Lot 989 seluas 195 depa dibahagi kepada 6 penama.

Kes unik juga bagi Lot 994, apabila tanah seluas 85 depa dikongsi 6 penama yang mana sekiranya dibahagikan maka setiap penama akan dapat bahagian sebagai contohnya 227/2400 bahagian. Ianya adalah seluas 8 depa sahaja. Lot 1003 pula tanahnya seluas 432 depa dikongsi 7 penama dan Lot 1026 seluas 706 depa dibahagikan kepada 8 bahagian.

Dan akhir sekali yang ingin kami catatkan di sini adalah Lot 3686 seluas 1.013 ekar dibahagikan kepada 12 bahagian. Ini semua hanyalah sebahagian daripada data penuh pemilikan lot tanah di atas tapak seluas 45 ekar yang akan dibangunkan dalam Zon A nanti. Jelas kelihatan tanah di sini unik dan juga terhad saiznya jika mahu dibangunkan secara bersendirian.

Dan ringkasan mudah yang dapat kami analisa adalah, terdapat 35 lot tanah yang berkeluasan antara 200 hingga 300 depa, 43 lot tanah lain pula berkeluasan hanya 100 hingga 200 depa dan 21 lot yang seterusnya memiliki keluasan di bawah 100 depa. Ini semua membuktikan keluasan tanah di sini cukup variasi dan berkeluasan terhad. Itu belum dikira banyak tanah lembah yang rendah yang jika mahu dimajukan, perlu ditambak sehingga 10 kaki tinggi.

Justeru, Pemuda PAS Kelantan berdiri teguh di belakang keputusan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan lembangan ini bagi memberi keuntungan kepada seluruh rakyat Kelantan apabila pembangunan serta peluang pekerjaan bakal terwujud nantinya. Dan tuan tanah asal sendiri pula, berhak berbincang dan mencabar seterusnya sama sama menentukan harga pampasan terbaik bagi tanah mereka di sini. Disamping jaminan kepada pembinaan semula rumah mereka di Zon yang sama. Kami yakin pembangunan di Zon A ini bakal memberi impak positif kepada semua yang terlibat.

Pemuda PAS Kelantan juga ingin menegaskan bahawa pihak kami tidak berminat dengan polemik peribadi, pertembungan konflik, isu mahligai ataupun wisma yang sedang hangat berlegar di seputar isu Lembah Binjai saat ini. Biarlah rakyat kampung yang terlibat menyelesaikan perbincangan antara mereka dan juga pihak pemaju serta pihak berkuasa tempatan secara matang dan berhikmah.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan – HARAKAHDAILY 18/6/2017

- Advertisement -