ANAK bongsu saya mengisYtiharkan bahawa dia sudah 2 kg turun berat badan sepanjang hampir 3 minggu Ramadhan kali ni. Syabas Luqman, di samping meraih taqwa dalam keberkatan bulan puasa ini, kita juga mendapat manfaat dari sudut kesihatan..
Ada orang berazam ingin turunkan berat badan. Nah, di bulan Ramadhan inilah boleh bermula. Proses mendapatkan manfaat pengawalan kalori bagi mengkuruskan berat badan perlu motivasi yang tinggi. Penjagaan makanan amat penting agar tidak berkelebihan kalori yang kita makan. Juadah semasa bersahur akan mengambil masa 2 jam untuk dihadam. Kemudian proses penyerapan akan berlaku dalam usus. Akhirnya dalam tempoh 6 hingga 8 jam, makanan yang diserap tadi habis digunakan bagi memberi tenaga kepada sel-sel badan. Menjadikan anggota badan kita ini akan mampu melakukan tugasan seharian dengan selesa.
Ghalib tempoh waktu berpuasa di negara kita ini selama 14 jam. Sumber tenaga dari makanan waktu sahur itu akan habis sekitar jam 2 petang. Setelah itu badan kita secara automatik akan ‘membakar’ lemak yang tersimpan seperti di peha, pinggul, perut, bahu, lengan dan beberapa tempat simpanan. Fasa inilah menyebabkan kebanyakan orang berpuasa akan surut berat badan mereka. Lemak yang terurai ini ditukarkan kepada bentuk tenaga sehinggalah berbuka puasa. Penyusutan berat badan sekitar 2.8 kg adalah lumrah bagi bagi orang yang berpuasa Ramadhan.[1] Tetapi kajian mengatakan berat badan akan naik semula seawal 2 minggu lepas puasa. Mana tidaknya, raya sebulan!
Di negara miskin lain, mereka berlapar sehingga berhari-hari sehingga berbulan lamanya. Dalam keadaan ini, setelah lemak badan habis dibakar, badan akan membakar protein yang tedapat di dalam otot-otot. Inilah kebuluran namanya. Mereka kurus kering sehingga tinggal kulit dan tulang sahaja.
Bagi orang gemuk, komitmen tinggi diperlukan bagi menurunkan berat badan mereka. Kajian dengan jelas menunjukkan penurunan berat badan antara 5% hingga 10% dari berat semasa akan memberi kesan positif yang besar. Tekanan darah, kolesterol dan gula dalam darah ini akan menurun.[2] Justeru amat sesuai para pesakit darah tinggi, kolesterol dan kencing manis memulai tekad dan azam mereka untuk kuruskan diri. Cumanya, motivasi tinggi diperlukan semasa bulan Syawal. Jika kita tidak mengawal nafsu makan dan mengambil kalori berlebihan, gemuk akan kembali. Paling tidak anda wajib istiqamah sehingga 6 bulan sehingga menjadikan budaya makan dengan menjaga kalori yang sedikit.
Contohnya berat anda 90 kg. Letak target untuk turunkan berat badan sebanyak 9 kg (10%) selama 6 bulan. Target supaya penurunan 0.5 – 1.0 kg dalam seminggu. Penurunan secara sihat untuk 0.5 kg – 1.0 kg selalunya sejumlah 1500-1800 Kal per hari jika disertakan juga dengan senaman untuk lelaki, dan 1200-1500 Kal per hari untuk wanita.
Jangan pula terlalu nak berdiet dengan ambil terlalu sikit kalori sehari, kurang 1000 Kal sehari, akan menyebabkan “muscle wasting” bukannya pembakaran lemak. Jangan hanya fokus kepada “weight loss” sahaja tetapi yang lebih penting adalah “inch loss”.
Apa resepi makanan dan jumlah kalorinya? Cari sendiri la..Saya berpuasa.
Suhazeli Abdullah
fb.com/drsuhazeli
Pautan:
[1] Islamic fasting and Weight Loss. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/23182306
[2] Losing Weight During Ramadan. https://www.cdc.gov/healthyweight/losing_weight/