Murtad dan liberalisme dalam negara

Nik Abduh
- Advertisement -

BEBERAPA hari lepas, pinggir Kota London dikejutkan dengan kebakaran besar sebuah apartment lebih 20 tingkat yang menempatkan lebih150 unit kediaman. Ia berlaku pada awal pagi ketika kebanyakan penghuni sedang tidur.

- Advertisement -

Keesokannya, heboh berita mengenai wira sebenar yang telah berjaya menyelamatkan nyawa ramai penghuni yang sempat keluar menyelamatkan diri. Mereka adalah umat Islam yang belum tidur atau bangun lebih awal untuk bersahur bagi menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadhan al mubarak.

Anak-anak muda muslim dikatakan berlari ke sana sini mengetuk pintu dan melakukan segala yang termampu bagi memastikan semua penghuni apartment tersebut tersedar dan lari menyelamatkan diri. Tindakan cepat mereka telah mendapat pujian ramai terutama non muslim, bahkan mereka turut memuji kehadiran satu bulan yang hebat iaitu bulan Ramadhan.

Ini contoh kehidupan muslim di bumi minoriti. Cabaran mereka amat besar, tetapi banyak kisah yang sampai kepada kita menunjukkan bagaimana mereka menghadapi kesukaran itu dengan menonjolkan akhlak yang baik dalam kehidupan. Akhirnya, di sebalik suara lantang membenci Islam dan penganutnya dilaungkan oleh kumpulan anti Islam, ramai masyarakat awam non muslim menolak seruan itu bahkan menganggap umat Islam minoriti adalah kelompok yang harus diteladani sifat dan akhlak mereka.

Agama Islam sedang pesat berkembang di barat. Bagaimana ia berkembang adalah bagaimana orang barat menjalani kehidupan mereka sendiri. Mereka adalah masyarakat sivil yang mencintai penerokaan kehidupan melalui ilmu dan pengetahuan. Islam berkembang di barat hasil pencarian mereka terhadap hakikat sebenar kehidupan. Mereka menggali ilmu semua ugama, sering bertanya, meneliti dan menyaksikan kegigihan umat Islam menonjolkan kebenaran agama Islam melalui kehidupan yang terpuji.

Malah, di serata dunia, Islam bergerak penuh harmoni memasuki lubuk hati manusia dengan cahaya ilmu dan kebenaran. Manusia, di sebalik dunia hari ini yang serba memukau dengan kemajuan dan kesenangan hidup, sudah mulai bosan dan ditimpa kemurungan dengan jiwa yang kosong. Islam datang mengisi kekosongan dan kekeliruan itu.

Di dunia barat, gereja tidak lagi mampu menghadapi tekanan sains dan pengetahuan yang menuntut pembuktian melalui fakta dan logika yang benar. Begitu juga ugama-ugama lain. Hanya Islam yang mampu menggalas tugas ini dengan cahaya hujahnya yang benar.

Tetapi dunia kekufuran enggan mengaku kalah. Mereka terus memerangi Islam dan berusaha menyekatnya daripada terus berkembang luas. Pertembungan Islam dan kekufuran bukanlah sebuah tayangan epik lampau yang hanya dikenang-kenang sebagai lambang kebuasan tamadun lampau. Bahkan ia berterusan hingga akhir nanti saat Allah mengambil kembali sepenuhnya dunia ini daripada kekuasaan manusia. Dunia ini hakikatnya adalah kisah pertembungan semulajadi antara Islam dan kekufuran atau antara tentera kebenaran dan kebatilan.

Dunia Islam diperangi oleh kuasa-kuasa besar kufur. Dengan sifat dan kedudukan dunia Islam hari ini yang begitu lemah akibat kepimpinan dan terajunya yang korup dan zalim, musuh Islam berusaha menggambarkan dunia Islam dengan wajah kejahilan, kemunduran, kejumudan, keganasan, perpecahan dan peperangan. Akhirnya Islam akan dilihat sebagai satu agama yang mesti dijauhi dan ditinggalkan.

Pada bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan ini, negara Arab Saudi dan sekutu Arabnya bertindak memutuskan hubungan dengan negara Qatar yang menjirani mereka. Qatar dituduh melindungi pengganas. Bahkan lebih mengejutkan, mereka menuduh Syeikh Yusuf al Qaradawi seorang ulamak terkenal Islam sebagai pengganas yang dilindungi Qatar.

Begitulah mudahnya Arab masuk ke dalam perangkap musuh. Mereka rela menjual kesatuan umat dengan harga yang murah demi menjaga kepentingan politik peribadi dan negara masing-masing. Mereka memakan fitnah musuh dan sanggup mendengar dari musuh demi mendapat perlindungan daripada dunia barat yang memusuhi agama mereka sendiri.

Amat malang bagi al Haramain al Syarifain yang memiliki penjaganya yang amat lemah politiknya. Al Haramain memerlukan kekuatan politik tertinggi untuk terus menjulang kaabah sebagai menara kebenaran yang memancar dan tempat tuju sujud manusia kepada al rabb al jalil.

Negara kita Malaysia turut dilanda serangan oleh musuh Islam sejagat. Dengan pemerintah negara yang alpa dan lemah, musuh menyusup masuk dengan agenda murtad dan fahaman kebebasan hidup tanpa syariat ugama. Mereka menyusup masuk pada siang hari dengan agenda perosakan di sebalik undang-undang negara yang melarang pengembangan agama selain Islam. Mengapa? Kerana kealpaan dan kesombongan untuk mengaku salah.

Evangelis Kristian sudah berjaya menyusup masuk sehingga mampu mengenderai sebuah parti politik besar tanah air bagi melaksanakan agenda besar Kristianisasi mereka. Beberapa pemimpin mereka sudah tanpa rasa takut mempromosikan ugama Kristian melalui dakwah politik mereka.

Sudah ada pemimpin Melayu Islam mengeluarkan kenyataan yang memandang ringan terhadap agenda Kristianisasi. Inilah lambang kejayaan fahaman Liberal yang sudah lama menyusup masuk dalam kealpaan umat dan pemerintah.

Sudah ada kumpulan paderi Melayu yang begitu gigih menjalankan dakyah Kristian dengan bantuan badan Kristian antara bangsa dan mereka begitu bangga berjaya memurtadkan orang-orang Melayu Islam.

Kumpulan LGBT kini telah lebih berani bersuara. Mereka dengan berani mempromosi zina dan seks sejenis yang hina. Mereka disokong kumpulan-kumpulan liberal Melayu yang tidak pernah diambil tindakan oleh kerajaan.

Umat Islam mestilah sedar. Mereka perlu bangkit daripada tidur yang panjang. Jangan biarkan pemerintah yang lemah turut sama melemahkan mereka daripada bangkit membetulkan keadaan. Bahkan masyarakat Islam mestilah berperanan menekan kerajaan agar bertindak berdasarkan undang-undang negara selain bertindak secara sivil menggerakkan jentera masyarakat membantu masyarakat yang lemah daripada terus menjadi mangsa agenda musuh Islam.

Malang sekali, wujud suara mereka yang mendakwa melakukan reformasi dan tajdid dalam negara yang memandang enteng terhadap gerakan Kristianisasi dalam negara. Mereka mendakwa yakin tidak akan terpengaruh dengan Kristian. Islam adalah cahaya yang jelas. Jadi usah ambil serius dengan peringatan-peringatan yang diberi. Begitulah dakwaan mereka.

Inilah kealpaan. Inilah kesombongan orang-orang yang ‘kuat iman’ bagi membantu golongan yang lemah iman akibat kejahilan dan kefaqiran.

Ironinya, mereka mendakwa diri mereka sebagai pejuang rakyat marhain yang kelaparan. Mereka menentang pemerintah yang zalim dan menuduh pejuang Islam yang tidak bersama mereka sebagai alpa dan tidak peduli masalah rakyat. Bagi mereka perut rakyat adalah akidah rakyat. Apabila perut dijaga, terjagalah ugama rakyat.

Hakikatnya mereka lupa, dalam kecuaian dan keasyikan orang kaya dan berilmu itulah, musuh Islam memecah masuk ke dalam kelompok umat Islam yang lemah, lalu memikat mereka dengan makanan dan jaminan penjagaan.

Di dunia barat dan negara bukan Islam, Islam berkembang di kalangan golongan berpengaruh dengan ilmu dan perbahasan. Manakala di kalangan masyarakat biasa, Islam berkembang dengan akhlak yang mulia dan sumbangan sivil oleh komuniti Islam minoriti. Ia adalah dakwah dalam uslub dan caranya yang benar dan diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

Adapun di negara Islam termasuk di negara kita, Kristianisasi berkembang di kalangan masyarakat Islam yang miskin melalui umpan makanan dan penjagaan. Manakala di kalangan golongan berpengaruh, mereka mengembangkan agenda mereka dengan menyebarkan faham liberal yang melalaikan umat Islam daripada melihat kepada bahaya Kristianisasi yang melanda umat Islam termiskin dan lemah.

Akhirnya kerana sesuap nasi, orang-orang Islam yang lemah ilmu dan dirundung kemiskinan sanggup menjual agama yang paling bernilai di sisi mereka dengan serendah-rendah nilai. Golongan berpengaruh daripada kalangan umat Islam pula terus alpa dan lalai daripada tanggung jawab menjaga saudara-saudara mereka yang lemah.

Murtad dan liberalisme adalah dua agenda berkembar barat yang memusuhi Islam yang dibawa masuk dalam kealpaan umat. Kristianisasi tetus bergerak dan berkembang manakala liberalisme yang sedang meracuni elit Melayu pula menjadi pelindung yang membentengi dakyat Kristianisasi tersebut.

Kita adalah setiap kita. Seorang muslim yang terputus akidahnya dari jiwa adalah kesakitan yang dirasai oleh semua. Jikalah ini perasaan kita sesama kita, insya Allah, itulah jawaban di manakah kekuatan umat ini.

- Advertisement -