TIADA lagi ketakutan kepada semua lapisan masyarakat untuk datang ke Qatar, satu keadaan yang sangat jauh berbeza berbanding dengan permulaan konflik yang terjadi di sini kira-kira dua minggu lepas.
Seorang pelawat dari Malaysia, Abdullah Fahim Hussin, 28, berkata, dia tidak mempunyai rasa bimbang atau runsing untuk datang ke sini berseorangan, walaupun laporan mengatakan ada konflik di sini.
Pemuda yang berasal dari Rantau Abang, Terengganu, mendarat di Qatar semalam bagi membawa pulang anaknya yang tinggal sementara dengan ibu dan bapa mertuanya untuk menyambut Aidilfitri di Malaysia.
Fahim (kiri) bersama keluarga mertuanya di Doha.
Beliau menunjukkan gambar keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha semalam (bawah) yang kelihatan kembali sesak dengan penumpang yang sama ada ingin masuk ke Qatar atau singgah menyambung penerbangan.
“Alhamdulillah semuanya kelihatan baik dan selamat, tidak seperti keadaan sebelum ini yang dilaporkan oleh bapa mertua saya agak kritikal pada permulaan konflik, tidak lagi kini.
“Saya juga gembira kerana dapat melepaskan rindu bertarawih di negara Arab sebelum pulang ke Malaysia esok,” jelas beliau yang juga seorang pelajar sarjana di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
Abdullah, peniaga madu Yaman asli berkata, tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan madu kerana pembekal menggunakan pelabuhan Oman sebagai perantara sebelum dihantar ke Malaysia.
Beliau yang pernah tinggal di Yaman pada permulaan perang di sana, ketika menuntut, berharap agar keadaan di negaraTeluk akan pulih seperti sediakala dan semua orang Islam kembali bersatu.
Sementara itu, Zulkhairi Abdul Rahman, 45, seorang rakyat Malaysia yang pernah tinggal selama lima tahun di Qatar, turut bersyukur dengan perkembangan terbaharu Qatar yang dilihat semakin baik.
(Foto: Zulkhairi dan Samsiah serta anak-anak di satu lokasi bersejarah di Qatar.)
Sambil menyifatkan Qatar sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar terbuka, pimpinannya juga mengutamakan ilmu kepada rakyatnya dengan menggunakan sebaik-baiknya wang petroleum untuk kebaikan rakyatnya melalui pendidikan.
“Saya dan keluarga sangat gembira tinggal di Qatar, namun tugas yang menghalang kami dari terus tinggal di sana,” kata beliau yang kini bertugas sebagai seorang pegawai bomba dalam industri petroleum di Iraq.
Turut berkongsi kisah hidup di Qatar, isteri Zulkhairi, Samsiah Samsudin, 39, yang menyifatkan kerajaan Qatar adalah sebuah kerajaan yang dermawan dan suka membantu negara lain.
Dengan keadaan bandar yang bersih, cantik, penduduknya juga tidak sombong dan berpakaian sopan selain daripada kadar jenayah yang sangat rendah, memberikan rasa keselamatan yang tinggi untuk tinggal di sini.
Beliau yang berasal dari Melaka itu, berdoa agar semua jiran-jiran dan rakan-rakan beliau ketika tinggal di Qatar agar sentiasa selamat dan ingin sekali jika ada peluang, kembali ke Qatar bagi melepas rindu bertemu mereka. – HARAKAHDAILY 17/6/2017
Penulis sekarang bekerja di Qatar.