Tumbang BN dahulu, baru fikir siapa PM

IDRIS
- Advertisement -

PAS bersama Gagasan Sejahtera akan lawan BN dahulu dalam PRU14. Bilangan kerusi yang akan ditandingi sudah pasti lebih daripada separuh bilangan kerusi Parlimen bersama rakan di dalam Gagasan Sejahtera. Selepas menang baru kita fikir siapa Perdana Menteri.

- Advertisement -

Kita tidak mahu sibuk hendak lantik siapa PM, ikan kembung sekilo RM16. Getah sekerap RM2.20 sekilo. Bawang putih sekilo RM18. Peniaga stesen minyak sudah pening kepala, minyak turun naik. Rakyat pula setiap minggu beratur isi minyak.

Pertama kena dapat ikan dahulu, baru kita fikir hendak masak apa. Kita tidak mahu, ikan tidak dapat lagi sudah bergaduh hendak masak apa.

Tumbang BN dahulu. Cuma kena periksa, jentera pilihan raya macam mana. Ahli berapa orang. Cula sudah dibuat atau belum. Tidak cukup kerja pilihan raya hanya dengan membina persepsi yang tidak berasas.

Petugas PACA dah cukup ke. Kalau setakat ada calon, jentera tidak ada, maka boleh angan-angan sahajalah. Daftar pemilih macam mana? Tidak cukup setakat hero di FB dan media sosial.

Masih ramai pengundi yang berkiblat kepada televisyen, terutama saluran satu dan penduduk luar bandar. Apabila dapat BR1M seolah-olah seperti air mutlak, suci lagi menyucikan. Kemarahan kepada GST, 1MDB dan kenaikan  harga barang boleh disejukkan dengan BR1M. Ini senjata yang ada kepada Umno BN di negara ini. Datuk Seri Najib dan anggota kabinet semua telah turun padang untuk tabur gula-gula dan dedak kepada pengundi. Cukup bekerja sekali dalam lima tahun.

Ini yang kita perlu kekuatan jentera terutama untuk menarik pengundi melayu. Kita tidak ada wang dan dedak untuk ditaburkan. Tetapi jika kita ada jentera, dengan izin Allah kita mampu menang.

Tun Dr Mahathir dan mereka yang sewaktu dengannya tentu tahu taktik ini sewaktu mereka berada di puncak kuasa. Itu dulu, sekarang sebagai pembangkang tentu berbeza, kerana ia perlu kepada komitmen dan iltizam yang tinggi. Dulu ada dedak, sekarang ada air liur sahaja. Sudah tentu budaya kerja berbeza

Sekiranya jentera tidak ada, setakat hendak bersembang bolehlah, sebagai halwa telinga. Insya Allah, inilah yang PAS tekankan setiap kali pilihan raya. Kebiasaan jentera PAS akan membantu rakan-rakan yang bekerjasama dengannya setiap kali pilihan raya untuk melawan BN.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
21 Ramadhan 1438/16 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 16/6/2017

- Advertisement -