KAWAN-KAWAN yang biasa merantau ke negara lain, cuba bagi info, negara mana lagi selain Malaysia yang main mercun masa sambut hari raya.
Kalau di Iraq tak ada mercun sama sekali. Kami dah muak dengan bunyi bom dan peluru berpandu. Setakat bunyi mercun orang Iraq tak pandang. Kelepeh je…
Orang zaman dulu tak ada banyak hiburan buat menghilangkan sunyi. Boleh main bedil buluh dan bedil kopi, kira OK laa. Tapi zaman sekarang masih ramai lagi yang minat letupan.
Sukar juga nak dihuraikan dari segi psikologi kenapa segelintir manusia minat kepada bunyi letupan sehingga sanggup mengorbankan jari tangan sendiri dan beraya di hospital. Dalam masa yang sama sebahagian lagi manusia terpaksa lari meninggalkan tanah air untuk menyelamatkan diri dari letupan.
Yang pasti di Malaysia tak lagi ada kilang mercun. Saya masih ingat bagaimana kemusnahan dahsyat yang berlaku semasa kebakaran sebuah kilang mercun dan bunga api di Sungai Buloh dulu.
Bila tak ada kilang di Malaysia, maknanya ia dibawa masuk dari luar. Walau sempadan kita dijaga berlapis-lapis oleh pelbagai agensi penguatkuasaan, barang larangan ini masih boleh lepas masuk.
Saya sangat-sangat berharap bahawa dakwaan liar yang mengatakan, mercun yang dirampas akhirnya dijual semula oleh kakitangan agensi penguatkuasaan undang-undang kepada orang ramai adalah palsu sama sekali.
Yang jadi mangsa mercun bukan hanya budak-budak malah bapak budak-budak pun turut terlibat sama. Tak perlulah nak tunjuk kreativiti buat mercun. Sifat belerang, isilah dalam apa pun, cucuh api maka meletuplah ia. Tak ada apa-apa yang pelik dan ajaib pun.