Qatar bagai pokok rendang berbuah ranum

- Advertisement -

SAYA mengambil sedikit masa rehat seusai solat zohor bagi melihat beberapa berita berkenaan Qatar. Di tempat saya bertugas, tidak boleh membawa masuk telefon pintar sembarangan kerana isu keselamatan. Maka waktu tengah hari adalah sangat sesuai bagi saya mengambil kesempatan membaca beberapa berita penting dan membalas pesanan WhatsApp serta FB. Mata saya terpaku kepada satu berita berkenaan kesanggupan kerajaan Qatar untuk tidak menyekat rakyat daripada negara yang memboikotnya untuk terus bertugas di Qatar.

- Advertisement -

Ketika itu berkebetulannya, lalu seorang rakan sekerja dari Mesir, Elsayed. Saya terus bertanya dia adakah dia menyedari berkenaan berita tersebut? Dia menjawab tidak. Lalu saya tunjukkan kepadanya berita itu. Dia tekun membaca sambil saya menyelak helaian maya itu. Sehingga dia berkata “Blease Stop”….Ya, itu bunyinya, bukan saya salah eja. Sememangnya orang arab yang biasa, mereka tidak boleh menyebut ‘P’ dengan tepat, pasti menjadi ‘B’. Kadang-kadang saya terfikir jika dia datang ke Malaysia dan mahu ke negeri Perak, mungkin dia akan dihantar ke tandas. Dia yang jelas ceria itu terus mendapatkan rakan-rakan senegaranya yang lain bagi berkongsi berita itu.

Keceriaan mereka bukan setakat itu sahaja, malah pada waktu berbuka, mereka bertemu pula dengan seorang lagi rakan mereka, Ali yang baharu sampai dari Kaherah untuk kembali bertugas. Maklumat yang dia berikan ialah, tiada masalah langsung untuk mereka kembali bekerja di Qatar ini. Alhamdulillah, saya tumpang gembira dengan perkembangan yang baik ini. Saya percaya ini bermula dari tindakan bijak kerajaan Qatar yang tidak memanjangkan isu ini.

qt5Minggu lepas sejurus pengumuman memutuskan hubungan itu, agensi kerajaan Qatar telah mengadakan beberapa kajian dan mengumumkan kajian itu kepada umum. Antaranya akan terjadi ribuan pemisahan keluarga yang  perkahwinan mereka di antara negara-negara yang memutuskan hubungan diplomatik ini.

qt6Pelajar-pelajar yang tidak sempat menamatkan pelajaran mereka turut diarahkan pulang walaupun mereka berada di tahun akhir pengajian. Ini semua adalah kesan sosial kepada kemungkinan tindakan daripada Saudi, UAE dan Bahrain. Namun tiada pula kedengaran tindakan drastik daripada Qatar sebagai balasan balik.

Tetapi setelah beberapa lama, Saudi, UAE dan Bahrain akhirnya memutuskan untuk membenarkan keluarga-keluarga tersebut bersatu dengan berbagai syarat. Tidak kelihatan akhlak yang baik ditunjukkan oleh ketiga-tiga negara yang memboikot Qatar itu. Ini terbukti apabila amaran demi amaran dikeluarkan kepada rakyat mereka ataupun pemastautin luar di sana agar tidak menunjukkan walaupun hanya simpati kepada Qatar. Denda ratusan ribu, penjara bertahun-tahun bakal dikenakan. Mereka seperti takut dengan bayangan sendiri.

Buku-buku Syeikh Yusof al-Qaradhawi diharamkan. Hotel-hotel tidak dibenarkan menyiarkan saluran al-Jazeera, proses penghantaran makanan dihentikan serta-merta, perkhidmatan pos juga disekat sehinggakan ada bantahan dunia berkaitan senarai pengganas kerana ianya seperti rekaan daripada negara-negara pembenci Qatar.

Ada juga laporan kepada Pertubuhan Hak Asasi Manusia tentang jemaah Qatar mendakwa disekat memasuki Masjid al-Haram di Mekah, menandakan begitu kesumat dendam mereka, sehinggakan sanggup menghalang hamba Allah dari beribadat di sana. Yang lebih memualkan ialah secara tiba-tiba Chad sebuah negara yang pernah mendapat tempat teratas dalam senarai negara paling rasuah turut menyertai negara memboikot Qatar. Rakan saya dari India berkata dia terpaksa melihat peta dunia bagi mencari lokasi negara Chad. Dia turut hairan apakah kaitan Chad dalam isu ini.

Kisah Ali yang sampai dari Mesir tadi, saya yakin ia adalah petanda kepada sesuatu yang positif kepada jalan perdamaian yang dinanti-nanti semua kecuali Israel dan Amerika. Apatah lagi setelah beberapa hari lalu, tiada ugutan atau tindakan drastik tambahan daripada mereka. Manakala Qatar dilihat sebagai memenangi pusingan awal ini dengan tidak tumbang dek kerana bekalan makanan disekat dan lebih dari itu, cara mereka membalas keburukan orang dengan kebaikan akhlak Islam.

Tidak ubah seperti sepohon pokok rendang yang sedang lebat berbuah, yang dilempar dengan batu dan kayu, tetapi bukan sahaja membalas dengan buah-buah yang enak, malah menyediakan juga tempat berteduh pula. Qatar yang dari mula dilihat hanya mahukan perdamaian dengan mereka. Bergerak menghampiri Aidilfitri, kami berdoa agar hari lebaran itu bakal menjadi titik bersejarah hubungan negara-negara Islam ini kembali bertaut. – HARAKAHDAILY 13/6/2017

Penulis sekarang sedang berkhidmat di Qatar.

- Advertisement -