Bangsa Arab gagal tunjuk teladan bina kesatuan ummah

- Advertisement -

MAPIM kesal dengan senario yang semakin buruk di negara-negara Arab yang menunjukkan kesatuan ummah ternyata gagal dibina di rantau di mana sejarah Islam mula bertapak.  

- Advertisement -

Liga Arab yang ditubuh pada 1945 dan GCC (Kerjasama Negara Teluk) pada 1981 yang dianggotai negara-negara Arab sepatutnya bertujuan merapatkan perhubungan dan kerjasama antara anggota wadah tesebut. Namun ternyata kedua platform itu tidak dapat menghasilkan kesatuan yang diharapkan. Padahal dari sekitar 340 juta bangsa Arab di rantau itu, 90% adalah Muslim dan sekitar 10% Kristian.

Ternyata 22 negara dalam Liga Arab dan 6 negara dalam GCC mempunyai idoelogi yang berbeza. Masing-masing mempunyai kiblat ekonomi dan politik yang berbeza sehingga mudah dicatur oleh kuasa luar. Saudi yang cuba menunjukkan kuasanya, memaksa negara lain patuh kepada kehendaknya.

Kini pergolakan yang tercetus mengakibatkan bangsa Arab saling bersengketa lagi.  Krisis antara negara Arab terutama di Negara-negara Teluk ( GCC ) telah mencetuskan satu lagi babak pertelingkahan yang berpotensi bergolak sehingga ke peringkat perang terhadap sebuah negara Islam oleh gabungan negara-negara Islam yang lain.

Krisis tekanan terhadap Qatar yang dilakukan oleh beberapa negara di bawah telunjuk Saudi, nyata memecah-belah dan menambah buruk lagi keadaan umat Islam di rantau itu. Lebih buruk lagi senarai 59 orang yang dituduh sebagai teroris di Qatar termasuk ulama tersohor Syeikh Dr Yusof Qardhawi. Malangnya Saudi dengan mudah menurut kehendak Amerika Syarikat dan Israel bila menyenaraikan individu dan organisasi yang dituduh teroris.

Kami sangat kesal ini berlaku di waktu umat Islam menjalani ibadah Ramadhan. Bulan suci yang sepatutnya dijadikan bulan memupuk silaturrahim, ukhuwwah dan kesatuan, tiba-tiba bertukar menjadi bulan memutuskan persaudaraan sehingga suasana bertukar tegang dan amaran dikeluarkan untuk berperang.

Setelah berlakunya krisis di rantau Arab pada 2011, akibat tercetusnya kebangkitan Arab (Arab Spring) yang melibatkan negara seperti Tunisia, Mesir, Libya, Yemen, Bahrain dan Syria, ternyata bangsa Arab berdepan dengan konflik dalaman yang parah.

Sebelumnya Iraq telah dihancurkan sehingga tidak ada lagi kestabilan sehingga hari ini. Satu demi satu negara Arab yang dipimpin oleh pelbagai kelompok yang telah menjatuhkan regim diktator masing-masing, tidak dapat bersatu untuk memulihkan negara.

Kali ini negara yang paling kaya dengan sumber minyak iaitu Saudi bersama dengan UAE pula,  merelakan diri bersekongkol dengan Amerika Syarikat dan Israel untuk menindas sebuah negara kecil Qatar atas nama membanteras terorisme dan memaksa Qatar memutuskan hubungan dengan Iran yang menjadi musuh nombor satu Saudi.

Kami kesal betapa pemimpin-pemimpin Arab telah rela diperalatkan oleh kuasa Barat dan zionis untuk diperlagakan sehingga kekayaan sumber minyak yang dimilikki oleh bumi Arab akhirnya diguna oleh musuh umat Islam sendiri iaitu zionis Yahudi dan kuasa imperialis Amerika Syarikat.

Krisis Qatar menjadi satu lagi babak perpecahan. Kali ini berlaku secara terang-terangan di bawah telunjuk Saudi Arab yang bersekongkol dengan AS dan Israel untuk menghukum mana-mana negara yang dianggap mencabar kuasa mereka.

Qatar dituduh kononnya mendukung teroris dan gerakan ekstrimis. Walaupun Qatar berkali-kali menafikan tuduhan tersebut namun Saudi dan konco-konconya meneruskan tindakan menghukum Qatar dengan hukuman yang sangat melampau.

Bukan sahaja Saudi dan beberapa negara GCC dan bukan GCC memutuskan hubungan diplomatik, malah melancarkan  sekatan udara, darat dan laut ke atas Qatar. Akibatnya ia telah memporak-perandakan kehidupan sosial orang awam di negara tersebut. Rakyat Qatar di negara-negara GCC yang lain diberi tempoh 14 hari untuk keluar. Kesan kepada keluarga rakyat awam di Qatar tiba-tiba menjadi tidak menentu. Mereka terpaksa berpisah antara suami, isteri dan anak-anak hanya kerana memilikki kerakyatan yang berbeza.

Akibat tindakan sekatan melampau keatas Qatar, semua perjalanan hidup sosial rakyat awam terganggu termasuk kehilangan jaminan pekerjaan, tempat tinggal, khidmat sosial, pendidikan, kebebasan bergerak dari satu negara ke satu negara.

Di negara GCC yang mempunyai hampir 50% warga asing sebagai pekerja dari keseluruhan 52 juta penduduk, akibat krisis yang berlaku, juga berdepan dengan masalah besar. Jika mereka keluar dari Qatar berkemungkinan mereka tidak boleh lagi pulang ke Qatar untuk menyambung pekerjaan. Jalan masuk dan keluar dari Qatar disekat sepenuhnya.

Inilah natijah dari pertelingkahan bangsa Arab yang berlaku kini.

Keuntungan terbesar yang dapat diraih segera dari krisis ini adalah oleh Zionis Yahudi dan kuasa imperialis Amerika Syarikat. Israel sudah lama menunggu kesempatan ini untuk melenyapkan kelompok yang menjadi musuhnya iaitu Ikhwan Muslimin dan Hamas.

Saudi dilaporkan mengeluarkan kata dua kepada Qatar. Tuntutan 10 perkara ke atas Qatar diberi masa 24 jam untuk ditunaikan. Intisari tuntutan itu adalah untuk mengusir semua anggota Ikhwan Muslimin dan Hamas, menghentikan sokongan kepada mereka serta memutuskan hubungan dengan Iran.

Kami dengan ini mendapati pemimpin-pemimpin bangsa Arab nampaknya gagal menunjukkan keinginan untuk membina kesatuan umat kerana masing-masing mempunyai ego untuk kekal berkuasa dan merelakan diri menjadi budak kepada kuasa besar AS dan Zionis Yahudi.

Kami merumuskan selagi pemimpin-pemimpin Arab tidak menjadikan Islam sebagai asas perhubungan dan ideologi yang menyatukan mereka, selagi itu bangsa Arab tidak dapat diharapkan menjadi contoh untuk umat Islam di seluruh dunia.

Kami berpendirian pemimpin Arab telah terperangkap dalam percaturan zionis dan kuasa imperialis. Sejarah bangsa Arab diperalat oleh British untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah kini berulang lagi bila mereka merelakan diri diperguna untuk menghancurkan gerakan Islam di rantau itu.

Kami mengingatkan pemimpin-pemimpin Arab bahawa kuasa imperialis akan membuang mereka bila didapati mereka tidak berguna lagi. Jika sampai masanya mereka perlu mengganti pemimpin Arab dalam sesebuah negara, mereka boleh melakukan konspirasi yang paling berkesan untuk menghumban pemimpin itu bagi diganti orang yang boleh menjadi boneka kepada kuasa besar dan zionis Yahudi.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim
12 Jun 2017

- Advertisement -