PAS Kota Raja sangkal tuduhan jalankan aktiviti parti dalam surau

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Kota Raja sentiasa mengambil maklum dan menjunjung titah DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri ini; yang melarang penggunaan masjid dan surau untuk kepentingan mana-mana parti politik.

- Advertisement -

Justeru kenyataan media ini dibuat bagi menyangkal dakwaan tidak berasas sesetengah pihak yang ditularkan di media sosial baru-baru ini; kononnya kami PAS Kawasan Kota Raja telah menjalankan aktiviti di dalam sebuah surau di Jalan Kebun Klang.  

Adalah dimaklumkan bahawa aktiviti “Retreat Pilihanraya PRU 14 PAS Kawasan Kota Raja” yang diadakan pada 21 Mei 2017 adalah di dalam premis bernama Pusat Ilmu Al Falah, Lorong Hj Abu Bakar, Jalan Kebun, Seksyen 30 Shah Alam, Selangor. Premis ini terletak lebih kurang 50 meter dari Masjid Jalan Kebun yang baru.

Pihak kami difahamkan oleh pihak urusetia/perunding yang mengurus kendalikan program kami bahawa premis tersebut asalnya Surau Al-Falah dan ianya telah tidak digunakan lagi sebagai surau untuk aktiviti ibadah ahli kariah bilamana Masjid Jalan Kebun yang baru telah siap dibina dan mula digunakan sejak awal April 2017.

Bangunan tersebut telah diubahsuai dan dijadikan pusat aktiviti masyarakat bermula dari bulan April 2017 dengan diberi nama Pusat Ilmu Al-Falah untuk kegiatan kemasyarakatan dan keilmuan ahli kariah seperti kelas Al-Quran, tuisyen, kursus-kursus dan sebagainya. Di samping itu bagi menampung kos pengurusan, bilik seminar di pusat ilmu tersebut juga disewakan kepada pihak luar untuk program dalaman seperti mesyuarat, seminar dan seumpamanya.  

Sehubungan itu dakwaan seperti yang tersebut di atas adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Kami dengan ini merafak sembah ke bawah DYMM Tuanku, memohon ribuan ampun dan maaf di atas kekeliruan yang timbul dan secara tidak langsung telah membabitkan pihak Tuanku dalam permasalahan ini. AMPUN TUANKU SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN.

Mohamed Diah Baharun
Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Raja
12 Ramadhan 1438 / 7 Jun 2017

- Advertisement -