Ramadhan membentuk generasi perubahan

- Advertisement -

WAHAI orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)
 
Ramadhan Bulan Mulia.

- Advertisement -

Segala puji bagi Allah yang memberikan kita kesempatan untuk bertemu dan bertamu di dalam bulan Ramadhan yang mulia.

Kesempatan berada di bulan Ramadhan wajar dihayati. Ramadhan adalah Bulan Tarbiah, menjadi medan terbaik untuk mendidik rohani dan melatih jasmani. Ia juga adalah Bulan Perjuangan, menjadi ruang terbaik untuk meningkatkan daya ketahanan menuju kemenangan. Di samping itu, Ramadhan menjadi lebih istimewa sebagai Bulan al-Quran, bersempena dengan keagungan al-Quran yang diturunkan padanya.

Memetik perutusan Presiden PAS sempena Ramadhan Al-Mubarak 1438H, “Al-Quran yang diturunkan sudah lengkap bagi keperluan hidup manusia. Sudah cukup kepada umat di akhir zaman ini untuk berpegang teguh dengan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW. Jadikanlah Ramadhan bulan untuk kembali kepada suluhan Al-Quran”.

Ramadhan Bulan Perubahan.

Menghayati perutusan Presiden PAS sempena Ramadhan Al-Mubarak 1438H, terdapat tiga Budaya Hidup Sejahtera yang wajar disemarakkan di kalangan umat Islam dan generasi muda, iaitu:

1. Budaya Politik Matang – Antara hikmah utama dalam ibadat puasa ialah dapat melatih kesabaran yang tinggi. Inilah manifestasi ungkapan “Sesungguhnya aku sedang berpuasa” yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW apabila berhadapan dengan makian, pertengkaran dan permusuhan.

Ungkapan ini juga wajar diterjemahkan dalam aspek berpolitik yang lebih matang dan sejahtera. Pendekatan BPMS ini bukan sahaja lebih berkesan terutama dalam masyarakat Malaysia yang bencikan kekerasan dan politik melampau, malah ia juga menepati ciri Muwajahah Silmiyyah dan Sirah Nubuwwah. Pendekatan berpolitik penuh kesabaran dan teguh berprinsip ini pastinya akan membuka dimensi baru penerimaan rakyat terhadap Islam, seterusnya merintis jalan kemenangan dengan kebaikan yang disebarluaskan.

2. Budaya Ekonomi Berkat – Puasa mengajar kita untuk berbelanja dengan cermat, di samping memperbanyakkan infaq dalam bentuk sedekah dan berzakat.

Dua amalan kewangan bijak ini adalah kunci penyelesaian krisis ekonomi negara, yang dibelenggu masalah pemborosan, rasuah dan hutang yang tinggi. Budaya bercermat dan berkongsi kekayaan akan memastikan aliran ekonomi yang lebih seimbang, merapatkan jurang pendapatan di antara kaya dan miskin, seterusnya membawa kemakmuran ekonomi kepada semua.

3. Budaya Hidup Berkualiti – Puasa melatih diri untuk menjaga disiplin dan kualiti dalam aturan kerja seharian. Bermula daripada waktu sahur hingga berbuka, tiada sesiapa yang berani melanggar waktu yang ditetapkan, walaupun seminit. Malah dijaganya puasa daripada segala pantang-larang yang boleh membatalkan puasa atau mengurangkan pahala puasa.

Di samping itu, puasa mampu membentuk amalan gaya hidup sihat, melalui proses penjagaan pemakanan dan pengurangan berat badan. Malah, inilah masa yang paling sesuai untuk para perokok meninggalkan tabiat buruk tersebut, selaras dengan kempen Kementerian Kesihatan, “Nafas Baru Bermula Ramadhan”.

Justeru, dengan mengambil semangat daripada suluhan al-Quran, Ramadhan kali ini wajar menjadi titik permulaan ke arah mencetuskan ‘Tsunami Perubahan’ dalam kalangan generasi muda, ke arah pembentukan negara Malaysia yang lebih sejahtera. – HARAKAHDAILY 6/6/2017

Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM

- Advertisement -