MANA-MANA kerajaan boleh membuat pinjaman daripada pihak lain termasuk di luar negara bagi kepentingan rakyat selagi tidak menggadai kedaulatan negara.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah bagaimanapun berkata, ia perlu dikawal supaya hutang tidak mengikat diri kepada negara yang memberi hutang.
“Kalau setakat berhutang tidak ada masalah dan ia pernah berlaku dalam sejarah Rasulullah SAW.
“Kalau sampai tidak boleh berhutang langsung tidak betul dari segi cara berfikir,” katanya di Kota Bharu.
Baru-baru ini Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pinjaman Pulau Pinang (Bank dan Sumber Kewangan Lain) 2017.
Ia bertujuan memberi kuasa kerajaan negeri meminjam wang daripada mana-mana bank atau sumber kewangan yang diluluskan kerajaan persekutuan, bagi tujuan pelaburan kewangan, pelaksanaan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial di Pulau Pinang.
Mohd Amar berkata, apa yang dibimbangi hutang itu menyebabkan si berhutang tunduk kepada tekanan atau pengaruh politik pemberi hutang. – HARAKAHDAILY 6/6/2017