Jerusalem’s Jubilee: Awasi missionary Kristian Yahudi

- Advertisement -

PERTUBUHAN Tautan Rahmat Malaysia (Tautan Rahmat) menyokong penuh laporan polis yang digerakkan Dewan Pemuda PAS Melaka yang diketuai,  Ustaz Ahmad Bilal Rahudin dalam menggesa pihak polis menyiasat penganjuran “Nations of the Golden Gate aligning with Jerusalem’s Jubilee”, yang diadakan selama 4 hari dari 15 ke 18 Jun, di Gereja Calvary Life Assembly (Chinese) di Melaka.

- Advertisement -

Seperti makluman umum,  penganjuran Jerusalem Jubilee ini ialah sambutan kejayaan Rejim Israel Laknatullah yang merampas Kota Jerusalem dalam Peperangan 6 hari 1967 sempena tahun ke-50.

Hari sambutan ini juga diangkat sebagai Hari Kebangsaan Israel dan Kristian Evangelis yang menyaksikan titisan darah dan air mata umat Islam bergenangan.

Bagi kami,  penganjuran sambutan ini di Melaka apatah lagi dalam Ramadan sangat mengguris hati dan perasaan Umat Islam malah mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

Kami amat bimbang bahawa penganjuran ini sebenarnya adalah agenda jahat Evangelist yang sedang dan telah bertapak di negara ini sejak sekian lama.

Ini juga menandakan bahawa Malaysia sedang berada dalam radar agenda Kristianisasi antarabangsa yang pastinya akan menggunakan segala kecekapan dan kewangan mereka untuk memastikan dakyah mereka menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Apa yang kami lihat, usaha kristianisasi ini satu bentuk penjajahan agama yang sedang berlaku ke atas rakyat Malaysia melalui missionary terancang mereka ini.

Seandainya benar bahawa mereka sudah mula berani menyebar secara terbuka,  kami yakin bahawa ia akan mengundang ketidakharmonian dalam negara apatah lagi Malaysia adalah negara majoritinya umat Islam.

Sememangnya usaha kristianisasi ini bercanggah dengan undang-undang dan perlembagaan negara Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana adalah melanggari undang-undang sekiranya terdapat usaha mengembang iktikad dan agama selain Islam kepada orang Islam.

Kami di Tautan Rahmat menyambut baik tindakan Kerajaan Melaka pimpinan Datuk Seri Idris Haron yang telah mengarahkan pembatalan segera program tersebut.

USTAZ MOHAMAD IBRAHIM
Presiden Tautan Rahmat Malaysia
5 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 5/6/2017

- Advertisement -