Ramadhan: Membina jalur ikhlas

Nik Abduh
- Advertisement -

MANUSIA diciptakan dengan dua unsur iaitu zahir dan batin. Kedua-duanya diciptakan pada kemuncak kesempurnaan makhluk-Nya. Binaan zahirnya amat cantik. Begitulah juga cantik batinnya.

- Advertisement -

Dengan wajah yang cantik berseri, kita menarik orang lain untuk berkenalan dan berinteraksi dengan kita pada tahap pertama. Dengan kata-kata yang manis pula, pengenalan dan hubungan akan menjadi semakin dekat pada tahap seterusnya. Begitu juga, kita akan menolak untuk mengenali dan berurusan dengan orang lain apabila penampilan pertamanya adalah dengan wajah yang buruk, apatah kalau beriring pula dengan kata-kata yang buruk.

Tetapi pada hujungnya, kekal berhubungan dan bersahabat bukan lagi pada wajah yang cantik atau kata-kata yang manis. Ia nanti akan ditewaskan oleh pengenalan kita terhadap batin seseorang itu. Wajah yang cantik akan tetap tewas kepada sifat dan akhlak yang buruk.

Si lelaki atau perempuan mengahwini pasangannya adalah kerana zahirnya yang indah dan cantik. Tetapi itu hanya pengenalan awal. Lama-kelamaan, kekal atau tidaknya binaan kasih sayang akan mula diambil alih oleh sifat-sifat dalaman di antara mereka yang semakin terserlah.

Ramai suami isteri yang cantik-cantik, kaya-kaya dan begitu tersohor berakhir dengan perbalahan dan perceraian sehingga ada yang berkata, alangkah rugi dan peliknya si dia berpisah dengan isteri atau suami yang begitu cantik dan kaya. Mereka sepadan bak pinang dibelah dua. Tetapi akhirnya, semua akur bahawa perceraian itu bukan lagi kerana rupa paras dan harta, tetapi kerana perihal batin dan dalaman yang tidak lagi cocok di antara mereka. Ruh yang tidak secocok. Lalu ketegangan tidak lagi dapat dielakkan.

Berapa banyak pula pasangan yang perkahwinan mereka tidak diambil hirau oleh ramai. Pasangan tidak cantik, tidak kaya dan tidak berstatus apa-apa. Tetapi hidup mereka terus bahagia, malah mereka mungkin menjadi contoh kebahagiaan dan kesantunan hidup kepada masyarakat. Mereka dikenali selepas tidak pernah dikenali. Kenapa? Ya, kerana rumah tangga mereka yang dibina oleh hati budi yang cantik.

Wajah zahir yang cantik hanyalah seperti bungkusan yang cantik. Ia diperlukan untuk pengenalan. Tetapi jika isinya adalah emas dan berlian, adakah anda akan membuangnya dek kerana ia dibungkus dengan secarik surat khabar cina?

Kesimpulan awal ialah sifat-sifat dalaman yang baik atau buruk adalah penentu yang akan melangsungkan perhubungan sesama manusia, panjang atau pendek, kekal atau sebaliknya. Justeru manusia adalah sifat manusiawinya. Manusiawi manusia adalah kemuncak nilai penciptaan manusia.

Sifat-sifat dalaman manusia, baik atau buruk, walaupun tidak nampak dan terzahir di wajah dan tubuh badan, tetapi ia akan terzahir jua satu persatu pada tubuhnya itu. Dia akhirnya ia akan menjadi pengenalan utama dirinya, bukan lagi wajah dan tubuhnya.

Seseorang itu akan mula dikenali dengan sifat-sifat seperti peramah, sabar, pemaaf, budiman, dermawan, lapang dada dan sebagainya apabila persahabatan awal itu menemukannya dengan tutur bahasa yang sentiasa manis, tidak lekas keluh kesah dan melenting, lapang dada, suka berbelanja untuk kawan, suka bersedekah dan sebagainya. Apabila sifat-sifat itu berterusan dan bukan dibuat-buat, maka ia melekat sebagai pengenalan buat dirinya yang sebenarnya.

Begitulah sifat-sifat buruk seperti pemarah, pendendam, kedekut, pentingkan diri sendiri, pendusta, pengadu domba dan sebagainya, melalui pengenalan dan persahabatan, akan segera timbul dan terzahir walaupun cuba disembunyikan oleh tuannya. Akhirnya ia menjadi pengenalan kepada dirinya. Dia akan dijauhi kerana sifat-sifat buruknya itu walaupun memiliki seindah-indah wajah dan rupa paras dalam mayarakat.

Tahukah anda, ada satu sifat dalam diri yang tersembunyinya amat dalam? Ia terlalu seni dan halus. Tetapi sifat itulah yang paling indah dan hebat.

Ketika sifat-sifat lain timbul dan terzahir satu persatu, lalu menjadi penghubung kehidupan manusia sesama mereka, sifat istimewa ini kekal tersembunyi dan gagal dikesan. Jika pun dikesan, ia hanyalah pada tanda-tandanya sahaja yang hanya boleh diteka oleh orang-orang tertentu yang mahir dan dianugerahi.

Sifat itu ialah ikhlas. Ikhlas itu terlalu halus dan seni. Ikhlas adalah satu jalur dalam diri yang begitu jernih dan tak tercemar oleh apa-apa. Apabila ia tercemar, ia akan hilang dan tiada lagi sifat ikhlas dalam diri, malah ia bukan lagi bernama ikhlas. Manusia yang hilang sifat ikhlas kerana gangguan pencemaran hakikatnya telah kehilangan suatu yang paling berharga dalam dirinya.

Mengapa? Ya, kerana pada saat sifat-sifat lain terzahir lalu menjadi penghubung sesama manusia, sifat ikhlas pula merupakan penghubung di antara manusia dan tuhannya. Allah hanya menerima sifat ikhlas sebagai penghubung di antara-Nya dan hamba-Nya. Justeru sifat ikhlas amat unik sekali dalam tubuh manusia.

Ikhlas bererti ketulusan sepenuhnya kepada sesuatu kerana sesuatu. Apabila kita mencintai seorang ibu, kita berkata ianya sebuah cinta penuh tulus kerana jasa si ibu yang tiada taranya terhadap kita. Itulah ikhlas. Tetapi jika kita dalam masa yang sama mencintai isteri kita setara dengan si ibu atau lebih lagi, maka keikhlasan cinta kepada si ibu menjadi pudar dan tercemar. Kejernihan ikhlas itu terganggu oleh wujudnya sekutu bagi si ibu.

Mengapa ada yang mencintai isteri setara dengan ibunya sendiri? Ya, kerana boleh saja pada pandangan lelaki itu, isterinya memiliki kelebihan tertentu yang mengalahkan kelebihan ibunya, lalu cintanya berbelah bagi di antara cinta kepada ibu dan cinta kepada isteri.

Begitulah keikhlasan yang terbina sesama manusia. Kiaskan. Soal cinta, kebergantungan, ketaatan, kesetiaan dan sebagainya di antara sesama manusia hakikatnya gagal mencipta keikhlasan yang hakiki. Manusia bersaing merebut kepercayaan dan kelebihan sesama mereka yang akhirnya mencemarkan keikhlasan. Keikhlasan yang tercemar hakikatnya bukan lagi keikhlasan. Syarat keikhlasan ialah kejernihan sepenuhnya.

Sekarang anda tahu bahawa manusia sesama mereka adalah tanpa keikhlasan. Tetapi mereka tidak kisah dan boleh hidup seadanya dengan membina jalinan keikhlasan yang tercemar oleh persaingan, kepentingan dan kelebihan sesama sendiri.

Bagaimana pula mereka boleh hidup tanpa nilai keikhlasan atau hakikatnya adalah sebuah kepura-puraan? Ya, seperti yang disebut di atas, kerana manusia gagal mengesan sifat ikhlas walaupun mereka mampu mengesan sifat-sifat yang lain dalam diri. Justeru mereka tidak kisah membina hubungan yang tidak ikhlas sepenuhnya. Siapa tahu? Masing-masing tidak tahu. Masing-masing hanya bersangkaan dan meneka-neka batin pasangannya atau rakannya dengan sifat ikhlas.

Di mata isteri, suaminya begitu mencintainya. Lalu dia membalas cinta dengan cinta. Mana dia tahu bahawa suaminya sedang menyembunyikan cintanya kepada wanita lain? Hanya demi menjaga rumah tangga agar kekal bahagia, si suami hanya memendam rasa. Begitulah sebaliknya, keadaan sama boleh berlaku di pihak isteri juga.

Manusia tidak dapat mengesan keikhlasan sesama mereka. Maka mereka boleh hidup dalam pura-pura. Asal kekal rahsia dan tiada kecurangan yang nyata yang menzahirkan kemunafikan.

Kemudian keikhlasan sesama manusia tiada untungnya. Apa untung mencurahkan cinta hanya pada seorang saja? Yang dicinta tidak mungkin dapat memberi segala keperluan yang diperlukan oleh si pencinta.

Si ibu atau isteri atau sahabat atau pemimpin, jika kepada mereka dicurahkan segala cinta atau setia sepenuhnya, apakah masing-masing akan memberikan segala-gala yang diperlukan? Tidak bukan? Justeru apa untungnya membina keikhlasan yang tulus dan jernih kepada yang satu yang tidak mampu memberi semua keperluan dan hajat orang yang mencintai itu? Justeru cinta sesama manusia adalah bercabang-cabang dek pergantungan yang terpecah-terpecah sesama mereka.

Apabila anda memahami ini, maka anda akan memahami mengapa sifat ikhlas itu adalah dalam ilmu Allah dan menjadi milikNya yang tidak dikongsikan. Hanya Allah yang tahu keikhlasan manusia. Maka keikhlasanlah yang terpilih dan layak menjadi satu-satunya jalur yang menyampaikan manusia kepada Allah. Ia jalur yang tidak mungkin dapat diganggu oleh manusia atau sesiapa pun daripada kalangan makhlukNya.

Pertama, Allah mengetahui segala. Ikhlas manusia tidak tersembunyi di sisiNya. Maka mana pun manusia yang cintanya, setianya, taatnya, kebergantungannya dan ketakutannya kepada Allah turut dikongsi bersama makhluk yang lain, ia adalah tertolak di sisi Allah. Ia ikhlas yang tercemar. Ia adalah syirik. Bukankah itu pura-pura yang telah tersingkap dan khianat yang nyata di sisiNya. Manusia tidak mampu berlakon di hadapan Allah.

Kedua, keikhlasan manusia kepada Allah adalah berbalas dan berbaloi. Curahkanlah segala-galanya dengan penuh ketulusan dan kejernihan kepada Allah, nescaya anda akan memperolehi segala-galanya daripada Allah. Allah-lah satu-satunya yang layak diikhlaskan segala-galanya kepadaNya. Dia-lah tuhan yang memiliki segala-galanya untuk makhlukNya yang tidak memiliki segala-galanya.

Apabila begitu nilai ikhlas kepada Allah, maka apa perlu lagi ikhlas kepada selainnya yang setara dengan ikhlas kepadaNya?

Ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah penjana sifat ikhlas dalam diri seorang hamba. Ia ibadah senyap. Tiada siapa tahu kita sedang menahan nafsu perut dan syahwat. Ia perang senyap. Tidak siapa tahu kita sedang bertarung dengan kebuasan nafsu. Ia juga zikir senyap. Tiada siapa tahu diri sedang takutkan Allah daripada melanggar perintahNya.

Perhatikan hadis al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam, “Semua amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasanya itu adalah untukKu dan Aku pasti membalasinya. Dia meninggalkan makanannya dan minumannya adalah kerana-Ku.”

Hadis ini mengangkat darjat ibadah puasa di atas ibadah yang lain dengan menonjolkan sentuhan keikhlasan yang nyata yang tercetus daripada ibadah puasa. Puasa hakikatnya melatih diri dengan kemanisan mensucikan niat yang ikhlas kepada Allah dalam segala hal.

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah tuhan sekalian alam.”

- Advertisement -