PAS Sabah gesa Ustaz Ahmad Awang jangan fitnah

- Advertisement -

BARU-baru ini tersebar wawancara Ustaz Ahmad Awang, Penasihat umum Parti Amanah Negara dengan Sinar TV. Pelbagai isu dan pandangan peribadi beliau dikupas.

- Advertisement -

Antara yang disebut dengan jelas dalam wawancara tersebut adalah berkaitan kehadiran beliau di Sabah menjelang muktamar 2015. Ketika itu beliau bertanding melawan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS.

Katanya sewaktu kehadiran di Sabah, beliau disambut oleh tiga atau empat orang muda di lapangan terbang dan ditunjukkan lokasi program yang pernah dianjurkan bersama oleh PAS Sabah dan satu agensi kerajaan yang tidak disebutkan.

Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya kenyataan beliau ini dan PAS Sabah tidak pernah mengharapkan sumbangan kewangan daripada mana-mana agensi kerajaan dalam setiap program yang dianjurkan.

Ada kemungkinan beliau juga telah tertipu dengan beberapa anak muda yang menyambut beliau di lapangan terbang, yang kononnya sebagai ahli PAS.

Saya beranggapan Ustaz Ahmad Awang telah terbiasa dengan politik fitnah dan penipuan dalam mencari publisiti. Hanya kerana tidak dijemput berkuliah di beberapa buah masjid, maka untuk melepaskan geram semua orang dipersalahkan.

Bagi pihak PAS Sabah, saya ingin menasihati Ustaz Ahmad Awang supaya jangan terikut dengan budaya politik murahan sebegini.  Apatah lagi peribadi beliau yang dikenali sebagai seorang ahli agama.

Semoga Ustaz Ahmad Awang diberi taufik oleh Allah SWT untuk kembali ke pangkal jalan.

DR. ALIAKBAR BIN GULASAN
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Sabah – HARAKAHDAILY 2/6/2017

- Advertisement -