Jauhkah kita daripada neraka?

- Advertisement -

MATLAMAT kita berpuasa untuk menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah. Ertinya kita akan berusaha sebaik mungkin menjadi manusia yang menjunjung perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya. Di bulan Ramadhan yang kita burunya ialah syurga dan jauhkan daripada neraka. Inilah yang dipesan oleh nabi SAW di dalam khutbah baginda di dalam Syaban supaya kita perbanyakkan di dalam bulan Ramadhan ialah Memohon keampunan dengan Allah SWT, Tahlil (menyebut Lailaha illa Allah, memohon kepada Allah syurga dan dijauhkan neraka.

- Advertisement -

Kenapa kita berpuasa? Kerana menjunjung perintah Allah SWT dan memburu darjat taqwa kepada Allah SWT. Taqwa  merupakan matlamat yang hendak dicari oleh orang yang berpuasa. Mendapat darjat taqwa Insya-Allah akan menjauhkan diri daripada neraka.

Orang yang bertaqwa sedar bahawa kematian bukan pengakhiran segala-galanya.   Selepas mati, ada siksa kubur, persoalan kubur, buku catatan amal, timbangan, titian dan yang paling akhir tidak tahu apakah kesudahan syurga atau neraka. Oleh itu mereka amat berhati-hati di dalam tindakan mereka.

Neraka suatu perkara yang menakutkan bagi orang beriman. Bergegar hati apabila ayat yang berkenaan neraka dibaca. Mereka tidak sanggup untuk menghadapinya. Bagi mereka yang keras hati dan biasa melakukan maksiat, persoalan neraka tidak memberi bekas kepada perlakuan mereka. Mereka anggap biasa dan berita yang berlalu begitu sahaja.

Mereka yang bertaqwa akan merasa neraka akan menerkam mereka. Sentiasa berada di dalam perlindungan Allah. Hidup di dalam manhaj Allah SWT. Seperti mana kata seorang pemuda yang soleh bernama Ibn Abi Maisarah  selalu menangis ketika menghampiri tempat tidurnya.

Dia berkata; “Alangkah baiknya jikalau ibu tidak melahirkannya”

Ibunya berkata; “Wahai anakku, Allah telah berbuat baik kepadamu dan membawa dirimu kepada Islam”

Dia berkata; “Wahai ibu, tapi Allah telah memberi tahu kita akan menghampiri neraka dan tidak tahu sama ada kita terlepas atau tidak.”

Semua orang akan menemui neraka, ada yang selamat ada yang dihumban ke dalam neraka. Waliyazubillah.

Firman Allah SWT bermaksud;

“Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) ialah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Allah. Kemudian kami akan selamatkan orang yang bertaqwa, dan Kami akan biarkan orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.” (Surah Maryam 71-72)

Kita jarang memikirkan kiamat dan api neraka, kerana kita leka dengan dunia. Kita merasakan kiamat dan neraka masih jauh. Sedangkan kiamat boleh berlaku pada bila-bila masa dengan pantas. Seperti Firman Allah SWT

“Dan tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti  sekelip mata atau lebih cepat lagi”.  (Al-Nahli 77)

Apakah kita sedar perkara ini?

Persoalan neraka ialah perkara sam’iyyat (yang didengar, bukan dilihat) oleh itu orang yang beriman sahaja yang merasa gerun dan menjaga batasan Allah. Sekiranya neraka boleh dilihat, nescaya tidak ada orang yang buat jahat. Semua pusat maksiat seperti kelab malam, pusat judi, pelacuran tidak laku. Pelaku rasuah tidak berani untuk mengambil rasuah dan mengambil harta awam. Tidak perlu ada polis dan penguatkuasa. Pemimpin negara tidak akan kianat amanah rakyat. Mereka akan tunaikan hak kepada mereka yang berhak.

Orang yang bertaqwa sentiasa meminta-meminta supaya dijauhkan daripada azab neraka. Firman Allah SWT bermaksud;

“Wahai Tuhan kami, sisihkan azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan. Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk”. (Surah al Furqan 66).

Keadaan neraka yang digambarkan oleh Al-Quran

Firman Allah SWT bermaksud;

“Kami telah menyediakan orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya  neraka sebagai tempat bersenag-senang.” (Surah al-Kahfi: 29)

Nabi Isa AS bersabda maksudnya;

“Berapa banyak badan yang baik cantik, lisan yang fasih, wajah yang berseri kelak berada di atas api neraka sambil berteriak kesakitan”.

Nabi SAW ketika turunnya ayat yang bermaksud;

“Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang dekat. Maka Rasulullah SAW mengumpul kaum kerabatnya. Lalu baginda bersabda kepada mereka, Wahai semua orang Quraish, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka. Wahai semua Bani Kaab, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka. Wahai Bani Hashim selamatkanlah diri kamu daripada api neraka. Wahai Fatimah binti Muhammad, selamatkanlah dirimu daripada api neraka, kerana aku tidak berkuasa melindungi kamu daripada seksaan Allah SWT.”

Allahu Rabbi, bagaimana baginda peringatkan kepada keluarga terdekat supaya jauh daripada neraka. Baginda walaupun sebagai penghulu segala Nabi-nabi tidak boleh membantu kaum terdekat. Persoalannya adakah kita berpesan kepada keluarga kita mengenai azab neraka?

Jadikanlah Ramadhan untuk membebaskan diri kita dan keluarga kita daripada api neraka
1.Kerjakan amal soleh untuk menjadi hamba yang bertaqwa
2.Jauhkan maksiat
3.Jauhkan perkara haram.
4.Perbanyakkan amal sunat untuk tampung kecacatan amal fardu
5.Jaga hubungan dengan manusia
6.Laksanakan amar ma’ruf nahyu anil munkar.
7.Perbanyakkan zikir terutama al-Quran
8.Perbanyakan sedekah kerana sedekah boleh memadamkan api neraka.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
7 Ramadhan 1438/2 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 2/6/2017

- Advertisement -