Isu kegagalan SPR kendali edaran RDPT secara efisien

- Advertisement -

BADAN Perhubungan PAS Negeri Kedah merasa kesal dengan pengesahan oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang mengarahkan pemberhentian pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan suku tahun pertama 2017 kepada Pengarah Pilihanraya Negeri untuk disemak oleh parti-parti politik.

- Advertisement -

Peruntukan masa selama 14 hari yang ditetapkan SPR tidak memadai dengan menggunapakai kaedah lama pameran dibuat. Walaupun dikatakan terdapat 960 tempat pameran seluruh negara tetapi bukan perkara yang mudah mendapatkan data lengkap bahan yang dipamerkan.

Terdapat 272,143 pendaftaran baharu dan 80,821 berpindah alamat dalam rang suku tahun keempat 2016 yang dipamerkan pada 7 hingga 20 Feb 2017; manakala pendaftaran baru pemilih bagi suku tahun pertama 2017 berjumlah 242,691 dan 84,214 pemilih berpindah alamat dipamerkan pada 9 hingga 22 Mei 2017. Ini bererti jumlah keseluruhan pendaftaran pemilih baharu bagi dua suku tahun adalah seramai 514,843 orang dan 164,635 pemilih berpindah alamat dipamerkan dalam tahun 2017 ini yang keseluruhannya mencecah 679,469 orang pemilih.

Petugas pilihan raya PAS Kedah mendapati bahawa terdapat pusat pameran yang hanya mempamerkan sebahagian rang DPT daripada jumlah keseluruhan lokaliti dalam suatu DUN, di samping wujud masalah komunikasi pengendali pusat pameran untuk mendapatkan rang DPT berkenaan.

Terdapat juga perpindahan pemilih bertukar alamat seperti yang dipamerkan, misalnya DUN Belantik berjumlah 218 orang pemilih. PAS Kedah berpendirian bahawa SPR perlu dilihat telus, adil dan berintegriti dalam mengendalikan pengurusan pendaftaran pemilih; serta pengendali pilihan raya yang mengamalkan prinsip demokrasi yang saksama.

PAS Kedah juga mengalu-alukan sikap keterbukaan SPR sebagai pemudah cara dengan mengembalikan kemudahan akses untuk mendapatkan data pemilih seperti yang diamalkan kepada parti-parti politik tanah air.

Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi
Pesuruhjaya PAS Kedah

- Advertisement -