Semarak braille serantau

- Advertisement -

KEAMANAN adalah suatu nikmat yang tidak ternilai dalam menyemarakkan dakwah Islamiah. Demikian pula ilmu adalah tunjang dan nadi pembinaan kefahaman Islam yang sebenar.
 
Begitu pula suasana permusuhan dan pertelingkahan antara masyarakat hanya meruntuhkan keteguhan Islam kerana terhalangnya sebaran ilmu dan malapnya aktiviti dakwah. Begitulah peringatan yang diberikan oleh seorang sahabat dari Filipina kepada saya.
 
Pertemuan dan perbincangan saya bersama beliau lewat solat tarawih malam tadi adalah semata-mata membincangkan keperluan golongan OKU penglihatan di Fililpina dalam mempelajari braille dan Al-Quran.
 
Pertelagahan dan perselisihan umat Islam di wilayah-wilayah tertentu di Filipina telah sama sekali melemahkan umat Islam bila mana mereka gagal memahami Islam yang sebenar. Sekadar tahu Islam dan semaraknya semangat jihad telah memusnahkan dan mematikan akhlak Islam sebenar yang sekaligus menidakkan suasana persaudaraan yang sepantasnya dibina.
 
Dalam suasana itulah sahabat ini mencari sisa-sisa ruang yang ada untuk menyuburkan dakwah dan menerapkan Islam dengan ilmu yang muktabar. Biarpun cabarannya merentangi usaha, ia tidak mudah untuk mematahkan semangat yang ada bagi menyerlahkan kehebatan Islam di dalam masyarakat.
 
Justeru, keprihatinan beliau kepada golongan OKU penglihatan membawa pertemuan dan perbincangan antara kami. Program pengajian braille dan Al-Quran ke Filipina adalah antara rangka usaha kami melalui Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia “Pertis”, dalam semarak program Quran braille serantau.
 
Selain menyediakan naskah-naskah Al-Quran braille, Pertis bertanggungjawab menyediakan tenaga-tenaga pengajar bagi membolehkan seberapa ramai komuniti OKU penglihatan termasuk sahabat serantau mampu membaca dan memahami AlQuran melalui tulisan braille.
 
Benarlah tauladan yang ditunjukkan oleh baginda Rasul Allah S.A.W betapa ilmu itu pelita kehidupan termasuklah mereka yang kurang upaya. Keyakinan itulah yang memberi perangsang kepada saya dan rakan-rakan untuk meluaskan sebaran kefahaman Islam termasuk penyebaran ilmu Al-Quran braille biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
 
Cukup saya tersentuh pada suatu masa bila saya didatangi oleh seorang anak yang buta matanya menyatakan keinginannya untuk belajar dan menjadi pandai sambil memegang tangan saya. Saya yang tidak diuji dengan anak-anak OKU cukup rasa terharu dan hiba bila mengenangkan cabaran yang perlu ditempuh oleh ibu bapa yang anaknya seorang OKU.
 
Sesungguhnya keekuatan ibu bapa sedemikianlah yang akhirnya mampu membentuk jati diri anak-anak OKU termasuk saya hari ini dan kerana itulah memperkasa agenda pendidikan dan ilmu sangat meruntun hati saya dalam pembangunan orang kurang upaya.
 
Bagi memperkasa agenda ini kami sangat memerlukan dokongan dan sokongan seluruh masyarakat. Baginda Rasul Allah S.A.W telah menunjukkan model bagaimana sahabat-sahabat R.A dari kalangan OKU mampu digilap hanya dengan ilmu. Titian sirah itulah yang sedaya mampu kami jelmakan dalam zaman mutakhir yang penuh mehnah ini. – HARAKAHDAILY 29/5/2017

- Advertisement -
- Advertisement -