Tiga staf AKSB terima pampasan RM240,000

- Advertisement -

TAKAFUL Malaysia cawangan Kelantan menyerahkan pampasan kepada tiga bekas kakitangan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang berjumlah RM240,000.

- Advertisement -

Dua daripada mereka mengalami ilat kekal, Che Zulkifli Che Mud dan Mustapha Idris, manakala meninggal dunia, Almarhum Mohd Hasyminzahar Zainal Abidin menerima RM80,000 seorang.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Pengurus Besar AKSB, Ir. Wan Zamri Wan Ismail.

Beliau menyifatkan penyerahan itu sebagai salah satu usaha AKSB untuk menghargai bakti serta perkhidmatan yang dilakukan ketika berada dalam agensi tersebut.

“Kita menyediakan perkhidmatan Takaful ini kepada semua kakitangan yang ditimpa kemalangan walaupun jumlahnya tidak besar seperti syarikat lain.

“Tetapi kita beri pampasan ini sebagai tanda penghargaan sekaligus menjadi inspirasi kepada orang lain untuk terus berkhidmat,” katanya.

Turut hadir pada majlis di Bangunan Wisma Air Jalan Kuala Krai di sini pagi tadi Ketua Jabatan Korporat dan Pentadbiran AKSB, Wan Azlan Wan Ismail.

Sementara itu, Pengurus Perniagaan Sektor Perniagaan Korporat Takaful, Mohd Nazri Hassan berkata, ia merupakan penyerahan pampasan pertama bagi tahun 2017.

Katanya, AKSB sudah menggunakan perkhidmatan insuran berkenaan sejak agensi berkenaan dikenali Kelantan Water dengan peruntukan lebih kurang RM1 juta setahun.

“Air Kelantan dalam Pelan Perlindungan Takaful Berkeluarga (PTKB) sahaja membayar lebih kurang RM400,000 bagi menjaga kebajikan pekerjanya.

“Selain itu, Air Kelantan juga menggunakan ‘group medical’ dan ‘group personal excident’ dengan pihak kami,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan cek kepada penerima. – HARAKAHDAILY 24/5/2017

- Advertisement -