PAS Tawau anjur KAFA percuma kepada OKU

BERMULA dengan tiga orang pelajar dengan seorang guru pada Januari 2016 di perkarangan Masjid al-Kauthar, kini Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) OKU beroperasi di rumah Ustazah Siti Maryam Azis di Kampung Sentosa Blok 4 Tawau.  Beliau merupakan salah seorang Sukarelawan Pertubuhan Pembangunan OKU Malaysia cawangan Sabah.

Advertisement

Pelajar KAFA OKU kini hampir 15 orang dan diajar secara bergilir oleh guru-guru sukarelawan pada setiap hari Sabtu jam 2.00 hingga 4.00 petang. Manakala pada musim cuti sekolah kelas diadakan setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Mereka yang hadir mempunyai pelbagai keupayaan seperti OKU fizikal, pertuturan, austime, down sindrom, penglihatan dan lain-lain. Namun bagi OKU yang terlantar, ajk lajnah akan menziarahi mereka di rumah .

Adik Mohd Zaid Saparudin salah seorang pelajar berkata, bahawa dia berasa bersyukur dan berterima kasih kepada PAS Kawasan Tawau kerana prihatin terhadap nasib OKU serta bersyukur dapat mempelajari al-Quran secara percuma.

Seorang tenaga pengajar sukarelawan, Ustazah Rahmatiah Mohamad berkata, ini adalah satu usaha yang amat baik daripada PAS kawasan Tawau yang mementingkan pendidikan agama kepada golongan yang memerlukan.

Kelas ini adalah salah satu usaha di bawah Lajnah Dakwah dan Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Tawau dengan menubuhkan Pertubuhan Pembangunan OKU Malaysia (PPOM) Cawangan Sabah yang juga di bawah Sekretariat Prihatin OKU lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Tujuan penubuhannya adalah untuk menyebarkan Islam kepada golongan OKU dan keluarga mereka serta untuk memberi bantuan kebajikan kepada OKU yang memerlukan . – HARAKAHDAILY 24/5/2017

OKUTawau 2

OKUTawau 3