PEMBINAAN jambatan ketiga Klang diusahakan Kerajaan Negeri Selangor bertujuan menambah baik sistem aliran trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata projek bermula 17 Julai 2014 dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun ini.
Ia membabitkan pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang sepanjang 1.7 kilometer (km) dan laluan keseluruhan 2.5 km, lapor SelangorKini.
“Tujuan pembukaan laluan jambatan hari ini adalah bagi memenuhi Audit Keselamatan Jalan Raya (RSA) peringkat keempat di mana pelaksanaan ini perlu dibuat untuk menilai keberkesanan ciri keselamatan diterapkan pada reka bentuk jambatan.
“Kejayaan pelaksanaan projek ini menjadi tanda aras keprihatinan kerajaan negeri yang begitu mengambil berat terhadap permasalahan rakyat dan penduduk setempat dalam usaha menangani kesesakan lalu lintas terutama di pusat bandar Klang,” katanya kepada media selepas Majlis Pra-Pembukaan Laluan Jambatan Ketiga Klang, hari ini.
Beliau berkata, skop kerja utama projek itu meliputi kerja struktur seperti cerucuk, tiang jambatan dan ‘segmental box girder’ serta kerja pelebaran jalan dan menaik taraf sistem perparitan.
Katanya, kos keseluruhan pembinaan jambatan itu berjumlah RM199,156,069.39 dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri menggunakan rezab negeri hasil daripada dasar penjimatan dan perbelanjaan berhemah diamalkan sejak 2008.