Gesaan kepada SPRM

- Advertisement -

PENJELASAN Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad yang menyatakan antara sebab institusi itu belum bertindak terhadap ahli-ahli politik berbanding pegawai-pegawai kerajaan ialah kerana beliau tidak mahu SPRM dijadikan alat dan modal untuk berkempen oleh mana-mana parti adalah sangat dangkal.

- Advertisement -

Pertama, kenyataan ini menunjukkan SPRM tidak dapat berlaku adil terhadap rakyat Malaysia, malah ia membeza-bezakan antara rakyat Malaysia di mana terhadap hak istimewa yang dikhususkan kepada orang politik, orang kerajaan dan orang awam. Ini tidak boleh berlaku.

Kedua, kenyataan ini juga menunjukkan SPRM tidak bebas.

Sekiranya polis juga mengambil pendirian yang sama, apakah ahli-ahli politik sekarang kini boleh dikira kebal untuk melakukan sebarang jenayah sebab institusi-institusi penguatkuasaan tidak berani mengambil tindakan terhadap mereka semata-mata tidak mahu dituduh sebagai alat politik?

Jika begitu piawainya, bagaimanakah SPRM menentukan bila ia akan menangguhkan tindakannya terhadap ahli-ahli politik sedangkan tiada siapa yang tahu bila PRU akan diadakan? Apakah ia 6 bulan sebelum PRU, 12 bulan sebelum PRU atau ikut suka-suka pesuruhjaya atau ia menurut arahan kerajaan yang berkuasa?

Bagaimana pula dengan PRU akan datang yang dijadualkan pada tahun 2023? Bila SPRM akan berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik bermula? Apakah tahun 2022?

Datuk Dzulkifli perlu faham bahawa SPRM akan dituduh bermain politik dan menjadi alat politik kerana ia dilihat tidak mampu bertindak adil. Para pegawai kerajaan turut terasa kerana mereka yang terlibat dengan kes 1MDB dan SRC International yang dibongkar jauh sebelum PRU diadakan masih belum diheret ke mahkamah.

PAS menggesa SPRM meneruskan kerja tanpa sebarang pengecualian. Sesiapa sahja yang terlibat dengan rasuah perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Rakyat boleh bersetuju jika SPRM hanya berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik ketika waktu kempen pilihan raya, dan bukannya tetiba diumumkan tindakan terhadap ahli-ahli politik ditangguh kerana PRU dah semakin dekat sedangkan mungkin PM sendiri pun tidak pasti bila PRU akan diadakan.

Namun begitu, PAS merakamkan penghargaan dan tahniah kepada SPRM yang bertindak tegas terhadap jenayah rasuah setakat ini. Imej SPRM sedang meningkat. Oleh itu, jangan biarkan usaha yang baik ini dicemari dengan tindakan berat sebelah seperti memberikan hak istimewa kepada ahli-ahli politik menjelang PRU.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
23 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 23/5/2017

- Advertisement -