Semak cacatkan pemandangan pekan Putatan

- Advertisement -

DAERAH Putatan yang merupakan salah satu daerah yang semakin pesat dari segi pembangunan infrastruktur di negeri Sabah. Ia juga turut dikenali sebagai pintu masuk ke pusat bandar raya Kota Kinabalu dan menerima kehadiran pengunjung daripada luar dan dalam negara yang datang ke Putatan untuk tujuan bersiar-siar dan menginap di hotel-hotel yang ada di Putatan.

- Advertisement -

Namun begitu, terdapat beberapa perkara perlu diambil perhatian yang serius khususnya dalam menjaga dan memelihara kecantikan dan keindahan landskap dan alam sekitar di daerah ini, kerana ada beberapa lokasi yang tidak dijaga dan diselenggara secara konsisten, iaitu di kawasan Pasir Putih, yang berhampiran dengan Kompleks Belia dan Sukan, Dewan Sri Putatan, lot kedai dan restoran yang menjadi tumpuan orang ramai untuk menjamu selera, membeli barangan keperluan harian serta laluan utama kawasan taman perumahan.

Rumput dan lalang di bahu jalan utama ini terlalu panjang seperti sudah dibiarkan berbulan-bulan tidak dipotong dan ini sekaligus menjejaskan landskap kawasan sekitarnya. Oleh hal yang demikian, atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan bersama bagi menjaga dan memelihara keindahan dan pemandangan landskap di kawasan Pasir Putih ini, pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Putatan menggesa dan memohon kerjasama daripada pihak berkuasa yang berkenaan agar mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah ini secara efektif.

Selain itu, pihak PAS Kawasan Putatan juga mencadangkan supaya penyelenggaraan khusus untuk kerja-kerja pemotongan rumput di bahu jalan seperti di kawasan Pasir Putih ini dilakukan secara berkala mengikut kesesuaian tempoh dengan ketetapan yang berjadual seperti operasi kutipan sampah yang dilakukan secara berkala. – HARAKAHDAILY 22/5/2017

- Advertisement -