Khidmat Malaysia diperkasa tangani bencana

- Advertisement -

RETREAT Lembaga Pengurusan Kecemasan dan Bencana (Khidmat Malaysia) PAS Pusat pada 21 Mei 2017 menggariskan beberapa langkah ke arah menatapkan lagi fungsi Khidmat Malaysia dalam menangani apa jua bentuk bencana yang melanda dalam negara.

- Advertisement -

Banjir, ribut, tanah runtuh dan air pasang besar antara bencana yang telah ditangani Khidmat Malaysia setakat ini. Yang paling lumrah berlaku ialah bencana banjir.

Sesi baru 2017/2019, Khidmat Malaysia kekal diterajui oleh Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai Ketua Pengarah dengan dibantu oleh Dr Azman Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Pengarah 1, Haji Husin Ismail Timbalan Ketua Pengarah 2, Nazri Mohd Aris yang juga Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia sebagai Timbalan Ketua Pengarah 3 dan Khairul Faizi Ahmad Kamil sebagai Setiausaha.

Khidmat Malaysia semakin matang berperanan setelah diuji dengan pelbagai ujian di medan sebenar antaranya tragedi banjir besar di Kemaman dan Pahang pada 2013.

Pada tahun 2014, diuji pula dengan bencana banjir di Terengganu dan yang paling tragis ‘Bah Kuning’ yang mencatat sejarah pilu terutama bagi penduduk Kelantan pada akhir 2014 dan awal tahun 2015. Manek Urai antara saksi bagaimana kuasa air yang melanda tak kenal sesiapa.

Pengurusan kecemasan dan bencana bukan hanya kerja bermusim kerana datangnya bencana tak kenal waktu dan siapa mangsanya.

Malah sepanjang tahun jentera operasi Khidmat Malaysia dari pelbagai agensi dan Jabatan di dalam PAS seperti Jabatan Amal, Briged Muslimat, Kelab 4×4, Ameerah serta beberapa NGO yang bergerak di bawah payung parti dirancang untuk dipersiapkan dengan pelbagai kursus dan latihan agar selalu berada dalam keadaan siaga bagi turun ke medan operasi bila keadaan memerlukan.

Pada sesi ini juga, dalam rangka untuk memberikan nilai tambah kepada kerja-kerja menangani bencana, Relawan Khidmat akan ditubuhkan.

Dalam masa yang sama, Khidmat Malaysia merancang untuk mengadakan kunjungan hormat bagi menjalinkan kolaborasi dan engagement dengan Agensi Kerajaan yang bertanggungjawab dan pengurusan bencana negara seperti National Disaster Management (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Untuk sesi baru ini juga, Standard Operation Procedure (SOP) Khidmat Malaysia dalam proses untuk diperkemaskan lagi supaya Khidmat Malaysia mampu bertindak di medan bencana dengan kadar yang paling optimum.

DR AZMAN IBRAHIM
Timbalan Ketua Pengarah 1 Khidmat Malaysia

- Advertisement -