Adab dalam bertabarruj

- Advertisement -

TAMPIL cantik, indah, anggun dan mempersona merupakan dambaan setiap wanita yang bergelar muslimah. Sinonim dengan perilakunya yang sopan santun menunjukkan ciri-ciri wanita dambaan lelaki soleh. Pelbagai cara yang ditempuh kebanyakan wanita untuk mendapatkan gelaran tersebut.

- Advertisement -

Secara umumnya, Allah Taala mengharuskan perhiasan dan tidak melarang manusia berhias dan menjaga kecantikan. Ini bertepatan dengan ajaran Islam yang menganjurkan agar wanita memakai pakaian yang indah, berhias dengan kemas dan memakai wangi-wangian yang sesuai. Walau bagaimanapun, keharusan ini tertakluk kepada batasan-batasan dan larangan tertentu yang mesti dipatuhi oleh setiap wanita.

Secara fitrahnya, wanita begitu sinonim dengan kecantikan kerana wanita menggemari dan ingin memiliki segala yang cantik, unik, indah dan menarik. Tabarruj ini mempunyai pelbagai bentuk dan corak yang sudah dikenali kebanyakan manusia sejak zaman dahulu sehingga sekarang, maksudnya ia tidak terbatas hanya sekadar berhias, berdandan, bersolek, memakai bauan dan sebagainya yang biasa dilakukan oleh wanita, bahkan lebih. Segala sesuatu yang mencerminkan keindahan dan kecantikan sehingga penampilan dan gaya seorang wanita menjadi menarik mata lawannya.            

Sebenarnya berhias merupakan perkara yang dibolehkan dalam Islam selama mana ia tidak melanggar syariat Islam. Namun, kebanyakan wanita muslimah berhias secara berlebihan sehingga melanggar syariat islam. Maksudnya, memakai dan menampakkan perhiasan dibolehkan dalam Islam tetapi dikhususkan kepada perhiasan yang zahir sahaja serta perhiasan untuk suami.

Perhiasan yang menghias tangan boleh dipakai selagi biasa dipakai oleh orang ramai. Alat solek dibolehkan dengan syarat tertentu seperti untuk tatapan suami dan mesti dibersihkan dengan sebaiknya ketika berwudhuk. Ini kerana terdapat sesetengah alat solek yang menegah air sampai kepada anggota yang difardhukan membasuhnya ketika berwudhuk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Perhiasan zahir iaitu muka dan celak kening, inai tapak tangan juga memakai perhiasan harus diperlihatkan di dalam rumahnya dan mereka yang datang ke rumahnya”.

Antara bentuk tabarruj yang dilarang dalam Islam ialah wanita yang mengenakan pakaian nipis dan ketat yang menampakkan tubuhnya, wanita yang memakai wangi-wangian yang berlebihan sehingga baunya dapat dihidu lelaki bukan mahram, wanita yang berhias kepada lelaki bukan mahram, wanita yang berdandan atau bersolek secara berlebihan seperti bukan kebiasaannya, misalnya memakai bedak yang tebal, eye shadow, lipstik dengan warna yang mencolok dan sebagainya.

Jauhilah tabarruj yang dilarang oleh syariat. Sungguh wanita yang keluar dengan penampilan yang berlebihan sebenarnya dia melemparkan dirinya ke dalam api neraka, sedangkan wanita yang menghiasi jiwanya dengan kesopanan dan berhias sesuai dengan tuntutan Islam adalah wanita yang menempatkan dirinya pada tempat yang mulia.

Tuntasnya, terdapat hikmah yang terkandung dengan larangan-Nya bertabarruj bagi wanita semata-mata demi menjaga masyarakat dari keruntuhan akhlak dan moral di samping memelihara wanita daripada berbuat jahat, menjaga kehormatan dan maruah serta menghindari kaum lelaki agar tidak terjerumus kelembah kehinaan. – HARAKAHDAILY 22/5/2017

- Advertisement -