Pendidik ketengahkan agenda pengislahan masyarakat

- Advertisement -

BEKAS Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Allahyarham Datuk Harun Taib dianugerah Tokoh Murabbi Ummah sempena Himpunan Pendidik Islam Malaysia 5.0 di kompleks Balai Islam Lundang hari ini.

- Advertisement -

Manakala Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat menerima anugerah Tokoh Pendidik Kebangsaan.

Selain itu, ulama Hadis terkenal Dr Abdullah al-Qari Salleh pula menerima anugerah Tokoh Pendidik Masyarakat. Mudir Madrasah Yusufiah, Gelang Mas, Pasir Mas pula diberi anugerah Tokoh Guru Pondok.

Setiap mereka menerima plak, sijil penghargaan, wang tunai dan Dinar yang disampaikan Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah.

Himpunan pendidik Islam itu dihadiri 1,529 peserta. Ia dianjurkan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) dengan kerjasama kerajaan Kelantan.

Peserta dari luar Kelantan yang paling ramai iaitu dari Kedah seramai 76 orang, Negeri Sembilan (69 orang), Johor (38), Melaka (37), Selangor (34), Terengganu (26), Pulau Pinang (14), Pahang (7), Wilayah Persekutuan (3) dan Sabah seorang.

Program terbabit merupakan himpunan pertama selepas muktamar PAS di Alor Setar, Kedah pada awal bulan ini.    

Presiden Pendidik, Normala Sudirman berkata himpunan tersebut membabitkan seluruh pendidik Islam bagi melengkapkan amal Islami di negara ini.

Katanya, pertemuan itu juga diharap dapat membina saf perjuangan pendidik Islam yang prihatin terhadap isu-isu yang mendominasi dunia pendidikan Islam dan kebajikan warga pendidik di seluruh negara.

“Pertemuan warga pendidik, pengurus pendidikan dari pelbagai institusi dan sektor pendidikan akan dapat mengeratkan jalinan ukhuwah.

“Di samping itu dapat mengetengahkan agenda pengislahan masyarakat melalui pembangunan sistem pendidikan yang konprehensif dalam sebuah negara yang telah hampir 60 tahun mencapai kemerdekaan,” katanya pada buku cenderahati sempena program berkenaan.

Pada program itu Rektor Kolej Universiti Islam Antarbangsa Selangor, Prof Datuk Dr Abdul Halim Tamuri menyampaikan kertas kerja pada segmen kalam murabbi.

Pidato Tokoh Pendidik Islam Malaysia 2017 pula disampaikan Dr Mahfodz. Program separuh hari itu dimulakan nasyid Shoutul Al-Muhammadi dan persembahan multi media mengenai pencapaian kerajaan Kelantan.

Orang ramai yang hadir juga dihiburkan persembahan kumpulan Rasy yang mengabungkan nasyid dan dikir. Pelajar Maahad Amir Indera Petra Bachok pula mempersembahankan kalam jamaie yang memukau hadirin.

Johan tilawah negeri Kelantan 1438 Mohamad Qayyim Nizar Sarimi pula memperdengar bacaan al Quran menggunakan al-Quran Brille.

Himpunan tahun ini bertema “Pendidik Pembentuk Generasi Rabbani”.

Seorang peserta dari Johor berkata, beliau dan rombongan datang dengan sebuah bas sampai di Kota Bharu awal pagi tadi.

“Petang ini kami akan melawat beberapa tempat menarik di Kelantan termasuk kawasan bebas cukai di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor,” katanya ketika ditemui. – HARAKAHDAILY 20/5/2017

- Advertisement -