PAS kehilangan seorang profesional paling berkaliber

- Advertisement -

SELEPAS Muktamar PAS ke 61 tahun 2015, segelintir golongan professional telah keluar dari PAS dan menubuhkan parti serpihan. Vakum yang wujud tersebut secara pantas telah terisi oleh golongan professional PAS yang sebelum ini berperanan tanpa publisiti. Merekalah sebelum ini yang menjadi enjin penggerak PAS bermula di peringkat cawangan sehinggalah membantu pemimpin di peringkat yang paling tinggi seperti Presiden dan Mursyidul Am.

- Advertisement -

Salah seorang daripada professional PAS yang kurang didendang sebelum Muktamar PAS 2015 ialah Prof Dr Mohamad Khazani Abdullah. Beliau adalah seorang professional yang cemerlang, memperolehi gelaran professor ketika usia masih muda dan pernah dianugerahkan anugerah berprestij sebagai ‘Saintis Muda Negara’. Di dalam PAS beliau cukup iltizam dan gemar berkerja tanpa publisiti, justeru tidak ramai pimpinan pertengahan dan ahli akar umbi mengenalinya.

Selepas PAS dimomokkan kehilangan golongan professional ekoran segelintir mereka yang keluar dari PAS, Dr Khazani tampil untuk menggembeling tenaga golongan professional PAS mengisi kelompongan tersebut. Beliau sering mengulangi hasratnya untuk membawa PAS maju, tetapi beliau sendiri tidak mahu diamanahkan jawatan-jawatan penting parti. Sehinggalah apabila diyakinkan pentingnya beliau berperanan seumpama ‘Pengarah Strategi’ parti, barulah beliau menerimanya.

Selepas Muktamar PAS 2015, Dr Khazani lah individu terpenting bertanggungjawab melakar halatuju PAS. Beliaulah penggerak utama kepada penggubalan roadmap politik PAS, Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), transformasi imej PAS dan yang sedang di peringkat akhir pembikinan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). Sejak itu barulah pimpinan pertengahan dan ahli akar umbi PAS mula mengenali beliau, seorang professional yang sangat berkaliber.

Mereka yang pernah mengikuti pembentangan dan penyampaian Dr Khazani pasti terpegun dengan analisis beliau tentang sesuatu perkara yang cukup meyakinkan. Beliau seorang yang professional yang berfikiran positif, optimis, tegas dan berprinsip. Apabila menghadapi sesuatu masalah, beliau mampu menyelesaikannya secara yang analitik, tersusun dan realistik. Keperibadian beliau sememangnya melayakkannya memikul amanah sebagai Pengarah Institut Strategi PAS (ISP).

Saya mula mengenali Dr Khazani lebih 20 tahun yang lalu, bermula dengan perkenalan biasa sehingga menjadi sangat rapat sejak dua tahun yang lalu. Beberapa bulan sebelum beliau meninggal dunia, hampir setiap minggu kami akan berbincang dan kadang-kadang bertemu lebih dari sekali dalam seminggu. Pertemuan kami selalu diakhiri dengan makan bersama. Pejabat syarikat beliau seperti sudah menjadi pejabat kedua saya selain daripada Pejabat Agung PAS.

Kebelakangan ini memang saya lihat, kesihatannya sedikit merosot. Dalam pertemuan terakhir saya dengan beliau minggu yang lalu, mukanya kelihatan pucat sedikit dan mengadu sukar mengangkat lengannya kerana terasa sakit. Bagaimana beliau terus gagah untuk memenuhi jemputan organisasi parti di seluruh negara, dari Perlis sehingga ke Sabah. Sehinggalah hari beliau kembali menemui penciptanya, ada beberapa jemputan yang sudah diaturkan oleh organisasi parti.

Pada hari Sabtu, 20 Mei 2017 bersamaan 23 Sha’ban 1438, ketika saya sedang bersiap ke utara tanahair, saya mendapat berita beliau telah tiada. Sejak dari malam tadi, saya telah mendapat khabar bersumberkan dari warisnya, tentang kedudukan kesihatan yang sangat kritikal. Hari ini beliau telah meninggalkan PAS, ahli-ahlinya dan seluruh rakyat dengan anjakan paradigma politik, dari politik kebencian (hatred politics) dan ultra-politiking kepada amalan politik matang dan sejahtera seperti yang dituntut oleh Islam.

Dr Khazani telah meninggalkan legasi yang tersendiri dalam PAS. Beliau sememangnya seorang professional PAS yang boleh dianggap ‘legend’. Saya akan terus merindui saat kami berbincang dan makan bersama. Sukar untuk saya lupakan, beliau sering mengeja nama saya sebagai ‘Zuhudi’ walaupun dia tahu ejaan yang sebenarnya ‘Zuhdi’. Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mengucapkan takziah kepada keluarga Dr Khazani, moga-moga beliau mendapat pahala syuhada seperti yang dijanjikan oleh Baginda saw.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
20 Mei 2017 / 23 Sha’ban 1438

- Advertisement -