Hadiah kemenangan kepada Presiden PAS

- Advertisement -

SELURUH ahli PAS digesa supaya meningkatkan kekuatan untuk mencapai kemenangan pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana PAS mempunyai peluang yang terbaik dalam menghadapi PRU14 dengan kekuatan sendiri.

“Perlunya kita tingkatkan kekuatan kita kerana ini peluang terbaik PAS untuk hadapi PRU14, mudah-mudahan dapat kemenangan atas kekuatan PAS ini,” ujarnya ketika merasmikan Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.6 di Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini. Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Husain Awang dan Pengarah Harap-PGU 3.6, Haji Yahaya Ali.

Katanya, PAS kini masih dalam perundingan dengan beberapa parti untuk menyertai Gagasan Sejahtera bagi menghadapi PRU14.

Menurutnya lagi, selain beberapa parti politik dalam Gagasan Sejahtera, turut disertai oleh NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat bersama PAS untuk menjatuhkan Umno BN.

Dalam konteks Terengganu, beliau berkata kemenangan PAS merupakan satu hadiah kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berhadapan dengan pelbagai fitnah.

“Insya Allah, kita hadiahkan kemenangan PAS di Terengganu kepada Tuan Guru Presiden,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan ahli-ahli supaya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah agar Allah memberi pertolongan pada PRU14 nanti.

Ini, katanya kerana faktor terbesar untuk mencapai kemenangan pada PRU14 nanti adalah pertolongan daripada Allah.

“Tanpa pertolongan Allah, kita tiada daya upaya untuk mencapai kemenangan melainkan pertolongan Allah.

“Jangan jauh diri dengan Allah. Jaga amalan seperti solat sunat, berwirid, berzikir dan sebagainya untuk mencukupkan syarat agar Allah memberi pertolongan kepada kita,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyampaikan salam dan ucapan terima kasih daripada Tuan Guru Abdul Hadi kepada semua pihak yang mengadakan solat hajat dan berdoa agar dikurniakan kesihatan. – HARAKAHDAILY 20/5/2017

- Advertisement -