Hentikan pembalakan di Bukit Perangin

- Advertisement -

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Kedah mengambil tindakan menghentikan segera aktiviti pembalakan di Bukit Perangin daerah Kubang Pasu kerana ia mengancam alam sekitar dan menjejaskan kehidupan penduduk-penduduk yang tinggal berhampiran kawasan tersebut.
 
Selain mencemarkan air sungai kegunaan harian lebih 400 penduduk di sini, para petani yang mengerjakan sawah di kawasan itu juga turut terjejas. Antara kampung yang terlibat dengan masalah ini ialah Kampung Wang Perah, Kampung Bukit dan Kampung Kubang Betong.
 
SAM kesal walaupun kesan buruk ini serius berlaku sejak 2013 lagi dan beberapa kali bantahan telah dibuat oleh penduduk yang terlibat namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi menanganinya.
 
Mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah Mohd Rahim Ramli (laporan Sinar Harian 8 Mei 2017) bahawa kawasan tersebut telah dicabut status daripada Hutan Simpan Kekal (HSK) kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri kira-kira dua tahun lalu, SAM berpendapat alasan itu tidak bermakna masalah yang berlaku boleh diabaikan dan tidak perlu diselesaikan oleh kerajaan negeri ini.
 
SAM difahamkan masalah di sini telah berlaku sejak 4 tahun yang lalu dan bimbang jika ia dibiarkan berlarutan bukan sahaja alam sekitar akan terancam dengan lebih buruk lagi pada masa akan datang, malah sekitar kawasan ini mungkin ketandusan sumber bekalan air bagi kegunaan penduduk tempatan.
 
Sungai-sungai lain di daerah Kubang Pasu seperti di Binjai, Temin, Hosba dan Malau mungkin akan tercemar dan mengalami masalah mendapan serta sistem saliran menjadi cetek suatu ketika nanti.
 
Kejadian banjir kilat dan cuaca kering yang berpanjangan boleh berlaku dan mengakibatkan kemusnahan harta benda. Hasil pertanian yang diusahakan oleh penduduk-penduduk di sini seperti dusun buah-buahan, tanaman getah dan padi akan turut terancam dan merosot pengeluarannya sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.
 
Justeru SAM berharap kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jabatan dan agensi yang terlibat mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi membantu penduduk yang terjejas kehidupan mereka akibat aktiviti pembalakan di Bukit Perangin di sini. – HARAKAHDAILY 18/5/2017

- Advertisement -
- Advertisement -