Dikatanya saya lembu tua

- Advertisement -

JUSTERU ketegasan saya mempertahankan PAS dan pemimpin semasanya atas isu-isu yang ditular, maka ada netizen menyifatkan saya  lembu  tua.
       
Saya pun cermin diri untuk menentukan betulkah saya macam lembu tua? Di cermin itu saya hanya dapat lihat saya macam saya. Orang lain yang boleh melihat apakah saya macam saya juga atau betul macam lembu tua.
      
Dengannya saya berpeluang memuhasabah diri. Betapa semua oang tidak terlepas daripada perhatian orang dan reaksi orang.
      
Jika menyifatkan saya sebagai lembu tua, maka lembu tua yang jantan cukup umur dijadikan binatang korban dan akikah. Orang beriman yang beramal demikian dijanjikan ganjaran dengan ibadat itu. Maka lembu demikian lebih bernilai di sisi Allah daripada Firaun dan Haman yang menentang Allah dan lain-lain orang yang tak berotak.
      
Jika mengata orang lembu baik muda atau tua disabitkan suatu yang tidak baik, maka yang mengatakan berdosa dan yang kena kata itu dapat pahala.
      
Apa hikmah orang yang kena kata dapat pahala? Supaya dia tidak berang dan tidak hilang akal atas yang menimpanya. Dia terus tenang dengannya kerana dia dapat pahala.
      
Kira-kira ia pahala dapat terpijak. Dia tidak beramal tapi dapat pahala percuma.
      
Jika saya dapat pahala secara demikian saya bersyukur kerana ia anugerah Allah. Tetapi kita tidak boleh bergantung pahala daripada ibadat yang kita tidak buat. Yang terbaik ia pahala daripada  amal soleh kita. Mulianya orang-orang beriman ialah banyak amal solehnya.
      
Jika orang kata kita lembu sedang kita tidak patut dikatakan begitu, kita dijanjikan satu pahala dan yang mengata dapat dosa.
      
Sekarang moga-moga diperkenankan saya dapat pahala. Kerana pahala itu bukan dari yang saya kerjakan, ia hanya dapat akibat dosa orang lain kepada kita, maka kita beroleh pahala daripada dosanya. Tidakkah itu satu sumbangannya kepada saya sedang sumbangan itu membinasakannya?
      
Kerana perbuatannya saya dapat pahala, maka dengan segala senang hati saya maafkan dia atas dosa yang disabitkan ke atasnya. Lalu terlepaslah dia dari dosanya kerana ia saya maafkan.
      
Saya teringat atas satu hadis seorang sahabat yang menuju masuk ke majlis perkumpulan baginda. Baginda memberitahu mereka yang datang itu adalah ahli syurga. Lebih dari sekali kejadian itu berlaku. Maka seorang sahabat minta dari orang itu untuk bermalam di rumahnya supaya dia dapat mengetahui apakah ibadatnya.
       
Tiga hari sahabat itu menginap di rumah ahli syurga itu. Tidak didapatinya sahabat itu melakukan ibadat yang istimewa. Dia tidak bangun qiamulil. Lalu dia bertanya sahabat itu apa amalannya hingga Nabi beritahu dia ahli  syurga. Dia kata dia tidak ada ibadat yang istimewa.
      
Mesti ada sesuatu yang dilakukannya. Maka yang dia ingat jika ia dikira ibadatnya, antaranya sikapnya menjaga hubungan baik dengan  semua orang – tidak memutuskan hubungan. Dan mengampun semua dosa orang terhadapnya.
     
Rupanya mengampun dosa orang pada kita besar pahalanya.
     
Dengan ini saya ampunkan dosa orang yang mengata saya lembu tua. Dia kata saya lembu tua, saya dapat satu pahala. Apabila saya ampunkan dosanya saya dapat satu pahala lagi. Maka saya dapat  dua pahala daripada netizen itu.
      
Maka saya tidak marah akan katanya pada saya itu sebab dia memberi saya peluang dapat dua pahala. – HARAKAHDAILY 18/5/2017

- Advertisement -