Umum hasil siasatan pencemaran sungai, tasik di Pahang

- Advertisement -

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengumumkan hasil siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Pahang mengenai punca pencemaran Sungai Pahang, Sungai Temerloh, Tasik Chini dan Tasik Mentiga di negeri ini dengan segera.

- Advertisement -

Pendedahan mengenai masalah ini perlu dilakukan kerana kejadian tersebut semakin serius mengancam kualiti air, sumber perikanan dan berbagai spesies tumbuhan di dalam sungai dan tasik berkenaan.

SAM kesal walaupun ancaman pencemaran sudah lama berlaku dan mencapai tahap yang membimbangkan namun sehingga kini tidak ada laporan lengkap yang didedahkan kepada umum punca sebenar pencemaran sungai-sungai dan tasik-tasik ini. Paling mengecewakan ialah tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkuasa terbabit bagi menangani masalah pencemaran.

Mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (laporan akhbar Berita Harian 18 April 2017) bahawa masalah itu berlaku kerana limpahan air Sungai Pahang pada musim tengkujuh dan bukan berpunca dari kegiatan pembalakan dan perlombongan, kenyataan ini bercanggah dengan hasil laporan tinjauan yang dibuat oleh SAM.

Kalangan Orang Asli dan peneroka Felda Chini mendakwa masalah pencemaran sungai dan tasik ini adalah berpunca dari kegiatan pembalakan dan perlombongan berhampiran yang berlaku sejak beberapa tahun yang lalu. Masalah itu bukan sahaja menjejaskan mata pencarian mereka tetapi juga mengancam kawasan tadahan air serta bekalan air untuk kegunaan harian terutama pada musim kemarau.

Amat menyedihkan, SAM mendapati banyak tumbuhan semulajadi di Tasik Chini dan Tasik Mentiga telah mati. Jika keadaan pencemaran ini dibiarkan SAM percaya tasik semulajadi itu akan berubah keadaan asalnya kerana dilanda pencemaran dan mendapan.

Mengenai pencemaran yang berlaku di Kuala Sungai Temerloh (laporan akhbar Sinar Harian 8 Mei 2017), SAM menggesa JAS Pahang menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu. SAM percaya jika kejadian ini tidak ditangani segera sumber pendapatan nelayan tempatan akan terjejas dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang.
 
SM MOHAMED IDRIS
Presiden Sahabat Alam Malaysia

- Advertisement -