Ibu si jantung hatiku

- Advertisement -

IBU ialah insan yang sangat mulia dan berharga dalam hidup kita semenjak kita masih dalam kandungan lagi, ibulah yang menanggung kesusahan demi kesusahan masa mengandung bagi memastikan kita selamat dan sihat dalam kandungannya sampai melahirkan sepertimana disebut dalam surah Al-Ahqaf ayat ke-15:

- Advertisement -

“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya,Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah (pula)”.

Tambahan pula, ibu memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan setiap keluarga. Kebanyakan anak berasa sungguh bahagia kerana mempunyai ibu yang prihatin dan penyayang. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kasih sayang ibu terhadap anak amat penting sekali.

Nilai kasih sayang seseorang ibu tidak dapat diukur dengan wang ringgit dan harta benda. Ibu yang peka dan penyayang akan senantiasa mengambil berat dan menjaga hal ehwal kebajikan anak dengan sempurna, mendorong anak agar berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran sehingga ke menara gading di samping mengutamakan aspek kesihatan dan minat anak-anak. Lumrahnya, ibu sanggup berkorban masa dan tenaga demi anak-anak supaya menjadi insan yang berguna apabila dewasa kelak.

Sebaliknya, jika seseorang ibu tidak bersifat penyayang dan kurang bertanggungjawab maka masa depan anak-anak akan menjadi gelap-gelita. Anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang seringkali didapati emosi mereka mudah terganggu sekali gus mendorong mereka mencari jalan keluar dan mudah bergaul dengan rakan sebaya yang bebas dan liar. Akibatnya, masa depan anak-anak akan tergugat sekiranya mereka terjerumus ke lembah jenayah maksiat dan dadah.

Justeru anak itu  mestilah dididik dan dibentuk keperibadiannya mengikut kehendak Allah supaya terjamin masa depannya di dunia dan di akhirat. Anak itu  milik dan anugerah dari Allah, amanah yang dipinjamkan kepada kita maka sewajarnya kita membentuk peribadi mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Allah.

Malangnya, pada alaf kemodenan ini, terdapat segelintir anak yang sudah dewasa dan berjaya mudah bersikap “bagai kacang lupakan kulit”. Mereka sanggup membiarkan kehidupan ibu yang pernah membesarkan mereka di rumah kebajikan kerana tidak sanggup menjaga ibu mereka yang tengah uzur dan beranggap bahawa orang tua ini leceh dan mengada-gada.

Padahal, ibulah yang selama ini menjaga kita daripada kecil sampai dewasa yang menukar lampin kita, yang berjaga malam disebabkan bimbang anak itu akan diganggu oleh binatang kecil hatta seekor nyamuk pun yang mahu digigit di badan anaknya.

Oleh itu, pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun, tarikh keramat itu dipilih semata-mata untuk anak-anak meraikan ibu yang tercinta bersempena dengan Hari Ibu di seluruh negara. Pada hari tersebut, jasa bakti dan iltizam ibu selama ini diperkatakan, dikenang dan dihargai. Sesungguhnya kasih sayang ibu akan senantiasa kekal dan berada di sisi anak-anak selagi hayat dikandung badan. Syurga anak di hujung telapak kaki ibu.

Seorang ibu juga dapat membaca pergolakan jiwa anaknya hanya dengan melihat air muka dan tingkah laku si anak. Perasaannya terhadap anaknya begitu halus. Sedari kecil anak itu di bawah pengawasannya, dia sudah arif benar ‘bahasa badan’ anaknya. Ibu dapat baca dari riak wajah walaupun anak-anak tidak beritahu apa masalahnya.

Walaupun anak-anak sudah besar dan masing-masing telah berkeluarga, seorang ibu masih suka meraikan dan melayan keinginan anaknya. Apabila anak balik bercuti atau beraya misalnya, dia akan turun ke dapur menyediakan makanan kegemaran si anak. Jika anak-anak ramai, dia akan meraikan dan beri perhatian pada setiap anak.Mungkin ada seorang dua anak yang lebih dikasihinya kerana disebabkan anak tersebut lain daripada yang lain.

Dia mahu anak-anaknya selesa dan terpenuhi keperluannya. Hingga kerap kali dia mendahulukan keperluan dan keinginan anak-anak dari keperluan dan keinginannya sendiri. Malah ke tahap dia mengorbankan keinginannya semata-mata untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak.

Kesimpulannya,ibu insan yang patut dihormati.Jangan sesekali menderhaka kepada dia atau berkata ‘ah’ seperti dalam Firman Allah dalam surah Al-Israa’ ayat 23 ada menyebut:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.HARAKAHDAILY 17/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia

- Advertisement -