Hilangnya sifat malu wanita

- Advertisement -

DALAM sebuah hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

- Advertisement -

“Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Salah satu ciri kemulian dalam kalangan wanita adalah sifat malu paling menebal dalam dirinya. Apakah yang disebut sebagai malu? Adakah perlunya seorang yang digelar wanita mempunyai sifat malu dalam dirinya?

Definisi malu menurut al-Junaid menyatakan bahawa melihat berbagai macam nikmat dan melihat keterbatasan diri sendiri, maka di antara keduanya muncul suatu keadaan yang disebut malu. Hakikatnya adalah akhlak yang mendorong untuk meninggalkan keburukan dan mencegah pengabaian dalam memenuhi hak Allah SWT.

Malu sangat berharga di sisi Allah kerana mahal harganya dan susah untuk merealisasikan sifat malu dalam diri sendiri terutamanya wanita Islam. Dalam hadis yang lain yang menunujukkan bahawa nabi Muhammad saw mempunyai sifat malu lebih daripada seorang gadis.

“Nabi SAW tersangat malu lebih dari malunya anak dara yang berada di sebalik tirainya.” (HR Ahmad – sahih)

Hal ini tidak menghairankan kerana Rasulullah SAW selalu menjaga pandangan mata dari hal-hal yang diharamkan, yang keluar dari lisannya selalu kata-kata yang baik, lebih mementingkan orang lain, seorang yang pemaaf, sangat baik dengan keluarga, penyabar, lemah lembut dan sangat menyayangi orang-orang yang beriman.

Dalam Ash Shohihain dari Abu Hurairah ra, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:

“Iman itu ada 70 cabang lebih, atau 60 cabang lebih. Yang paling utama adalah perkataan laa ilaaha illallah, dan yang paling rendah menyingkirkan gangguan dari jalan, dan rasa malu itu cabang dari iman.” (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu pentingnya malu dalam diri seorang wanita Islam kerana malu itu adalah sebahagian daripada iman.

Perbezaan antara wanita Islam dulu dan sekarang sangatlah berbeza. Dari segi segi akhlak dan perlakuan, jati diri amatlah ketara perbezaanya. Mungkin perbezaan ini disebabkan dengan arus permodenan yang berlaku di zaman teknologi yang cangggih sekarang ini.

Seperti yang dapat kita lihat di laman-laman sosial seperti facebook. Twitter dan Instagram, kebanyakan wanita Islam telah memuatnaik gambar-gambar yang tidak mengikut syariat kedalam laman sosial dan diperlihatkan kepada semua orang.

Itulah pentingnya seorang wanita mempunyai sifat malu dalam dirinya. Ini adalah kerana sifat malu boleh menghidarkan diri kita daripada setiap keburukkan dan mendekatkan kita kepada kebaikkan. Di mana kita dapat sumbernya sifat malu yang betul mengikut syariat yang ditetapkan oleh Allah? Sumber sifat malu adalah dari pengetahuan kita tentang keagungan Allah. Sifat malu akan muncul dalam diri kita apabila kita menghayati betul bahwa Allah itu Maha Mengetahui, Allah itu Maha Melihat. Tidak ada yang dapat kita sembunyikan dari penglihatan Allah. Walaupun sekecil zarah perkara yang kita lakukan, Allah tetap mengetahuinya.

Sebagai wanita Islam kita mestilah ada seseorang yang boleh kita jadikan teladan supaya kita dapat merealisasikan akhlak yang baik dalam kehidupan kita. Ramai serikandi islam yang boleh kita jadikan teladan dalam kehidupan setiap wanita Islam contohnya Fatimah Az-Zahra, Rabiatul Adawiyah, Siti Khadijah dan lain-lain lagi. Kisah-kisah mereka dapat dijadikan pengajaran untuk semua para wanita Islam.
Para wanita Islam hendaklah menjaga imej Islam yang dijaga oleh Nabi Muhammad SAW selama mana hidupnya.Banyak keburukkannya apabila hilangnya sifat malu dalam diri seorang wanita. Seperti yang kita lihat sekarang ini banyak jenayah seksual yang berlaku dalam golongan wanita.

Laporan polis diraja Malaysia PDRM, turut mencatatkan peningkatan kes rogol dalam kalangan remaja wanita. Bagi tempoh yang tidak sampai lima tahun sejak 2011 sebanyak 12,473 kes rogol dalam kalangan wanita dan dicatatkan sebanyak 435 kes pembuangan bayi turut dilaporkan.

Ini telah membimbangkan ramai pihak, ibu bapa mestilah memainkan peranan yang sangat penting untuk menbentuk anak-anak supaya menjadi Islam yang buakan sekadar di kad pengenalan tetapi Islam yang sebetulnya. Mereka lahir seperti kain yang putih bersih yang sempurna tanpa sebarang cacat celanya. Kitalah yakni ibu bapalah yang mencorakkan dan mewarnakan kain putih itu dengan corak dan warna tertentu.

Ibu bapa mestilah memantau anak-anak terutamanya anak perempuan supaya tidak membuat sesuatu di luar jangkaan. Sentiasa ada bersama mereka dan mengambil berat setiap perkara yang dilakukan oleh mereka. Jangan melepaskan amanah yang diberikan oleh Allah walaupun kita sibuk berkerja. Kebanyakan remaja perempuan yang tidak diberi kasih sayang sepenuhnya oleh ibu bapa melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan dirinya. Oleh itu ibu bapa adalah orang yang terpenting dalam mendidik anak-anak.

Peranan guru-guru juga amatlah penting dalm menghidarkan wanita-wanita Islam supaya tidak terlibat dalam gejala sosial. Selepas ibu bapa, guru- gurulah kedua terpenting dalam membentuk wanita-wanita Islam. Mereka mestilah memberi kaunseling dan menegur secara berhemah kepada pelajar-pelajar mereka terutamanya wanita supaya tidak terlibat dalam gejala sosial.

Sahabat mencerminkan diri sendiri. Oleh itu sebagai wanita Islam kita hendaklah mencari sahabat yang betul -betul diertikan sebagai seorang sahabat. Peranan kawan-kawan amatlah penting supaya kita tidak terlibat dengan gejala sosial perkara yang boleh menghilangkan kehormatan diri kita.

Dengan begitu jelaslah bahwa Islam tidak mensisihkan wanita. Wanita diangkat tinggi darjatnya disisi Islam. Wanita juga boleh terlibat dalam kehidupan sosial bermasyarakat, berpolitik, dan berbagai aktiviti lainnya. Islam hanya memberi panduan tentang adab seorang wanita Islam yang perlu dijaga. Sifat malu adalah salah satu sifat yang harus dijaga oleh setiap wanita Islam yang meyakini bahwa Allah SWT. Melihat setiap perkara yang dilakukan walaupun hanyalah sekecil zarah. – HARAKAHDAILY 17/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia.

- Advertisement -