Apa yang disorokkan antara kerajaan dan ICSB?

- Advertisement -

SELAGI mana percanggahan penjelasan antara Kementerian Kewangan dan ICSB (IWH CREC) belum dijelaskan, maka perkembangan projek pembangunan Bandar Malaysia di Sungai Besi masih menjadi tanda tanya. Hal yang berkaitan dengan dakwaan kegagalan obligasi pembayaran oleh ICSB di bawah ‘the share sale agreement’ (SSA) tidak dikemukakan secara terperinci oleh kerajaan. Sebaliknya, pada masa yang sama pihak ICSB telah menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa pihaknya telah membuat segala pembayaran yang wajar sepertimana yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

- Advertisement -

Lebih mengelirukan, pihak Kementerian Kewangan pula telah memulangkan kembali deposit sebanyak RM741 juta pada minggu lalu. Kemudian, dalam satu kenyataan yang disiarkan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyatakan bahawa pihak kerajaan membenarkan ICSB untuk membida semula projek Bandar Malaysia. Hal ini bermakna, kemungkinan berlaku sesuatu antara TRX dan ICSB. Ia bukan hanya sekadar melibatkan pembatalan urusniaga semata-mata, bahkan turut melibatkan hal kewangan yang besar.

Oleh sebab itu, sepertimana yang dituntut oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) sebelum ini, kerajaan mesti mengemukakan laporan sebenar mengenai perkara tersebut.

Adakah benar terdapat kegagalan dalam obligasi pembayaran seperti yang didakwa? Adakah benar pihak ICSB telah membuat pembayaran yang betul sepertimana yang terkandung dalam (SSA)? Mengapa kerajaan memulangkan semula deposit sebanyak RM741 juta kepada ICSB? Siapakah sebenarnya yang bersalah dalam hal ini?

Mohd Farkhan Md Zain
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
21 Sya’ban 1438 | 17 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 17/5/2017

- Advertisement -