Hadiah dari Rasulullah buat para guru

- Advertisement -

SEMPENA Hari Guru ini, rasanya yang paling layak menerima ucapan penghargaan adalah baginda Nabi Muhammad SAW. Dia adalah guru kepada semua guru kita. Baginda bukan sahaja mengajar, tetapi mendidik dan membimbing. Baginda bukan sahaja menunjuk jalan, tetapi memimpin kita ke jalan itu. Baginda bukan sahaja memberi amaran dari terjebak kepada jalan binasa, tetapi turut mengorbankan dirinya semata-mata menghalang kita dari terjerumus.

- Advertisement -

Firman Allah SWT:
ويعلمهم الكتاب والحكمة
Dialah Rasul yang mengajarkan kamu al-Kitab san segala kebijaksanaan.
[Al-Jumuah:2]

Sabda Rasulullah SAW:
إنما بعثت معلما
Sesungguhnya aku diutus sebagai guru
[HR Ibn Majah]

Kata Saidina Muawiyah RA:
ما رأيت معلما قبله ولا بعده أحسن تعليما منه
Aku tak pernah lihat seorang guru yang lebih baik cara didikannya selain dari Rasulullah SAW.
[Riwayat Muslim]

Dr Abdul Fattah Abu Ghudah menulis sebuah buku bertajuk الرسول المعلم (Rasul Pendidik). Di dalamnya beliau gariskan 40 cara didikan baginda SAW. Saya sebutkan secara ringkas di bawah. Anggaplah ia sebagai hadiah buat semua yang bergelar guru.

Sesungguhnya Rasulullah SAW itu:
1.  Mendidik dengan akhlak bukan setakat lisan.
2. Mendidik secara berperingkat.
3. Sederhana, mengambil kira masa agar tidak bosa.
4. Meraikan kepelbagaian tahap kemampuan murid.
5. Mendidik melalui dua hala.
6. Mendidik dengan perbahasan dan mengajak akal berfikir.
7. Menguji minda dan pengetahuan murid.
8. Mendidik dengan berkias dan berbidalan.
9. Mendidik dengan mendatangkan contoh.
10. Mendidik dengan lakaran visual.
11. Menggabungkan antara lisan dan body language.
12. Mengangkat tangan bagi menggambarkan keseriusan sesuatu.
13. Mendidik setiap masa yang sesuai tanpa ditanya terlebih dahulu.
14. Sentiasa menjawab soalan.
15. Menjawab lebih dari yang ditanya.
16. Kadang-kadang menjawab lain dari soalan.
17. Menjawab soalan dengan soalan.
18. Memberi peluang sahabat lain menjawab.
19. Memberi pujian kepada yang jawab betul.
20. Mendidik dengan berdiam diri.
21. Memberi pengajaran bertepatan dengan peristiwa dan situasi yang berlaku.
22. Mendidik dengan lawak jenaka.
23. Menyokong ilmu yang diberi dengan bersumpah.
24. Mengulang sehingga tiga kali.
25. Mengubah-ubah kedudukan semasa mengajar.
26. Menarik perhatian dengan kata-kata seru sebelum menyampaikan isi.
27. Memegang tangan murid.
28. Meninggalkan persoalan sementara membuatkan sahabat tertanya-tanya.
29. Memulakan dengan gambaran kasar, kemudian baru menghuraikan.
30. Menyebutkan jumlah sesuatu dahulu baru disebut satu persatu.
31. Sentiasa beri pesanan dan peringatan.
32. Menggunakan cara memberi semangat atau menakut-nakutkan.
33. Suka bercerita kisah-kisah.
34. Menyampaikan mukaddimah sebelum mengajar perkara-perkara aurat/aib.
35. Berbahasa lapik dalam perkara-perkara dalam melibatkan aurat/aib.
36. Mementingkan pendidikan terhadap kaum hawa.
37. Menyampaikan dengan penuh perasaan/emosi.
38. Mementingkan penulisan sebagai wasilah penyebaran ilmu.
39. Menyuruh sahabat belajar bahasa lain.
40. Menjadikan dirinya sebagai role model setiap yang disampaikan.

Kalau orang selalu datangkan pepatah:
لو لا مربي ما عرفت ربي
“Tanpa guru tidakkan ku kenal rabb-ku.”

Hari ini saya ingin sampaikan satu lagi pepatah
لو لا نبينا ما وجدنا مربينا
“Tanpa Nabi kita, tiadalah guru kita.”

SELAMAT HARI GURU, NABIKU DAN SEMUA GURUKU..
..اللهم صل على نبينا ومربينا محمد وبارك عليه وسلم..

(Alang Ibn Shukrimun)

- Advertisement -