Gajet, ibu bapa dan pembantu rumah

- Advertisement -

BEBERAPA tahun dahulu, kita semua mengalami era di mana ‘pembantu menggantikan ibu bapa’ dalam proses pembesaran anak-anak. Kini, fenomenanya agak berbeza sedikit. Fenomena yang menimpa bukan sahaja pada masyarakat di Malaysia, tetapi juga masyarakat di luar negara, di mana ‘Gajet menggantikan pembantu rumah dan ibu bapa’.

- Advertisement -

Ramai yang mengakui, senang jika ada Ipad, sebab ia memudahkan mereka melakukan kerja rumah, mudah bagi mereka mengawal tingkah laku anak jika berada di rumah kawan sebagai contoh, ataupun di kedai makan. Tetapi, ramai yang tidak sedar, kesan yang boleh memudaratkan anak-anak kecil ini. Adakah anda tahu, bahawa rangsangan yang berlebihan dari penggunaan gajet ini boleh mengecutkan otak anak anda, terutamanya kanak-kanak yang berumur bawah 3 tahun? Gajet yang dimaksudkan ini juga termasuklah penggunaan televisyen, dan apa sahaja yang di tonton dan terhad dalam sebuah kotak. Kenapa?

Kajian menunjukkan anak-anak di bawah umur 2 tahun yang dibiarkan menonton rancangan di TV akan mengalami efek negatif yang lama pada perkembangan bahasa, skil membaca dan ingatan memori jangka pendek. Kesan menonton TV pada 2 tahun pertama juga akan mengganggu tidur dan tumpuan anak-anak apabila mereka meningkat dewasa. Tumpuan di dalam kelas juga turut terganggu.  Kajian di Malaysia yang dilaporkan baru-baru ini menyatakan bahawa 10 tahun dahulu, kadar masa fokus bagi pelajar di dalam kelas adalah 13 minit.

Hari ini, kadar masa fokus telahpun jatuh pada hanya 4 saat. Ramai guru yang mengadu tentang permasalahan mengawal anak murid dalam kelas, dan inilah antara puncanya iaitu terlalu banyak didedahkan dengan pelbagai jenis gajet, tanpa pengawalan yang serius. Seorang pakar terapi pediatrik, Cris Zone menyarankan agar kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang sama sekali bagi menggunakan gajet. Antara sebab beliau ialah perkembangan otak dan perkembangan fizikal terbantut, obesiti epidemic, kurang tidur, penyakit mental, lebih  agresif dan demensia digital.

Cara kanak-kanak dibesarkan dan diberi pembelajaran menggunakan teknologi adalah tidak boleh lagi dikekalkan (Rowan 2010). Kanak-kanak ialah masa depan kita, tetapi tidak ada masa depan untuk kanak-kanak yang menggunakan teknologi secara berlebihan. Satu pendekatan berpasukan perlu dan penting untuk mengurangkan penggunaan teknologi di kalangan kanak-kanak.

Kehidupan kita hari ini sarat dengan teknologi dan agak janggal sekiranya seseorang itu menolak perkembangan teknologi terkini misalnya penggunaan telefon bimbit, komputer atau tablet.Kecanggihan teknologi tidak dapat dinafikan kerana ia mempunyai banyak kebaikan dan memudahkan urusan seharian terutama dalam urusan komunikasi, menyiapkan tugasan, alat pembelajaran atau penghantaran dokumen secara pantas.

Ada ibu bapa yang bimbang sekiranya teknologi melalaikan anak mereka, membazir masa, malah lebih teruk merosakkan minda anak-anak mereka. Namun, masih ramai menganggap pendedahan awal terhadap teknologi boleh membuatkan anak mereka celik IT, menambah pengetahuan am, menajamkan IQ seterusnya membantu pembelajaran di sekolah.

Kebaikan gajet

Antara kebaikan penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak termasuklah kanak-kanak lebih mudah faham dan cepat belajar melalui imej yang bergerak dan bunyi. Ia juga membantu perkembangan intelektual dan pemahaman kanak-kanak. Tablet atau peranti yang memerlukan kanak-kanak berinteraksi melalui sentuhan pada skrin antara cara terbaik menarik perhatian kanak-kanak untuk belajar dan faham dengan lebih pantas. Selain itu, aplikasi yang digunakan sebagai alat pembelajaran memberi kelebihan kepada kanak-kanak kerana selalunya ia lebih menarik, tidak membosankan dan mudah bagi kanak-kanak untuk belajar secara sendiri.

Keburukan gajet

Selain kebaikan, terdapat juga keburukan dalam pengggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak. Antaranya termasuklah kurang bergaul atau bersosial dengan orang secara berdepan, sebaliknya lebih banyak masa dihabiskan dengan tablet, telefon atau gajet lain. Kanak-kanak perlu bergaul dengan rakan sebaya serta keluarga untuk membantu perkembangan kemahiran sosial seperti berinteraksi dan berkomunikasi. Tidak ada peranti yang dapat menggantikan faedah yang didapati daripada komunikasi secara berdepan dengan orang lain. Kurang masa bermain bersendirian yang mendidik mereka berfikiran lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah misalnya cara menyusun blok permainan supaya ia tidak jatuh atau mencampurkan jumlah tanah dan air secukupnya supaya ia menjadi lumpur yang boleh digunakan untuk membentuk sesuatu.
 
Terlalu banyak rangsangan seperti bunyi kuat, cahaya terang, warna yang menyala dan pelbagai gerakan. Jika terlalu terdedah dengan begitu banyak rangsangan, anak kecil mungkin akan meragam sekiranya mereka tidak dapat menggunakan tablet. Sebaliknya mereka perlu diajar dengan aktiviti lain seperti mengayuh basikal, bersukan, membaca buku cerita atau membuat reka cipta sendiri. Terlalu bergantung kepada teknologi pantas membuatkan kanak-kanak mudah bosan apabila berdepan dengan pengajaran yang diberikan guru menggunakan papan hitam.
 
Kanak-kanak yang bergantung kepada teknologi untuk mengisi masa lapang mereka menjadi kurang aktif dari segi fizikal sedangkan pergerakan penting untuk membantu pertumbuhan kanak-kanak, membina otot yang kuat dan mengenal pasti kebolehan diri sendiri melalui gerakan. Kanak-kanak mungkin akan menjadi terlalu obses dan ketagih kepada teknologi. Apabila mereka tidak dapat menggunakan tablet atau komputer, ia akan menyebabkan mereka menjadi resah, terganggu dan mungkin melepaskannya dalam cara menangis dan mengamuk.

Oleh itu. Ibu bapa haruslah mengambil langkah membantu anak dengan banyak bertanya mengenai apa yang dipelajarinya daripada aplikasi yang digunakannya. Selain itu, bacalah buku elektronik bersama-sama dengan anak dan cari aplikasi yang memerlukan kanak-kanak menulis, merekod, melukis atau baca bersama. Akhirnya, pengetahuan yang didapati melalui aplikasi dimuat turun perlu digunakan dalam kehidupan sebenar, misalnya galakkan aktiviti luar, pemikiran kritikal dan kemahiran yang boleh dipraktikkan selepas melihatnya di aplikasi. – HARAKAHDAILY 15/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

- Advertisement -