Kelebihan Ramadan

- Advertisement -

SEBAGAI umat Islam, apabila mengingati tentang keistimewaan bulan Ramadan tentunya anda ingin mendapatkan kemuliaan di bulan yang penuh rahmat ini. Pada bulan tersebut, semua amal ibadah yang anda lakukan akan diganjarkan dengan pahala oleh Allah SWT.

- Advertisement -

Keindahan suasana bulan Ramadan semakin terasa di hati kerana kita akan menyambutnya kurang dari sebulan lagi bagi seluruh umat Islam di semua sudut negara. Pelbagai cara yang dapat anda amalkan apabila tibanya bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan seperti beriktikaf di masjid, berkongsi makanan berbuka dengan orang yang memerlukan, solat terawih serta tadarus al-quran.

Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi Muhammad SAW, bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (Hadis riwayat Bukhari 4/99, Muslim 759)

Pada bulan ini, terdapat banyak keistimewaan yang perlu anda ketahui agar kita semua dapat mengambil tahu cara-cara yang dapat dilakukan pada bulan Ramadan.

Bulan yang mendidik untuk mencapai ketaqwaan

Dari puasa tersebut, anda secara tidak langsung belajar untuk menahan lapar, dahaga, marah dan semua perkara yang boleh membatalkan puasa. Sehingga dari itu anda akan belajar untuk bersabar dan didasari dengan ketaqwaan kepada Allah SWT. Inilah yang menjadikan benteng mengapa berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan boleh mendidik anda untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT. Hal yang demikian juga berdasarkan ayat al-Quran;

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Al-Baqarah;183)

Bulan yang berpeluang menuju ke pintu syurga

Hal demikian sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Di dalam hadis tersebut menjelaskan bahawa ketika bulan Ramadan, maka dibukakanlah pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan kemudian syaitan akan dibelenggu. Hal demikian boleh dijelaskan bahawa peluang umat Islam untuk menuju jalan yang lurus sudah terbuka luas. Ini bermaksud bahawa di bulan Ramadan, umat Islam memiliki peluang yang penuh untuk menuju ke syurga Allah SWT.

Bulan yang terdapat lailatul qadar

Lailatul qadar merupakan malam yang lebih baik dan mulia daripada seribu bulan. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatul qadar ialah pada sepuluh malam yang terakhir. Barangsiapa yang dapat berjumpa dengan lailatul qadar maka dia adalah seorang yang beruntung kerana pahala amal ibadatnya ibarat beramal dan beriabdat seribu bulan.

Bulan Ramadhan penuh dengan pengampunan dosa

Sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menjelaskan bahawa barangsiapa yang menjalankan ibadah puasa dengan iman dan ihtisab (niat yang baik), nescaya akan diampuni dosa-dosa yang telah lampau. Ini bermakna sekiranya anda bersungguh-sungguh dan berlumba-lumba melaksanakan ibadah di bulan suci Ramadan, maka dosa-dosa yang telah berlalu akan diampuni oleh Allah SWT sekalipun dosa itu adalah dosa kecil atau besar.

Ramadan bulan yang penuh dengan keberkatan

Sebagaimana yang kita tahu, umat Islam memiliki kesempatan untuk berada di dalam bulan yang suci ini untuk mendapatkan keberkatan hidup sepanjang masa yang bernilai sama dengan seribu bulan. Biasanya umat Islam akan berlumba-lumba melakukan amalan untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup mereka. Ramadan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan kerana umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan amal kebaikan untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT dan mereka akan takut untuk melakukan perkara yang mungkar dan maksiat.

Bulan yang memiliki pahala berlipat ganda

Ibadah yang telah dikerjakan di bulan suci Ramadhan, Allah SWT akan berlipat ganda balasan dari apa yang umat Islam kerjakan dan balasan itu adalah sebanyak 70 kali ganda. Hal ini sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang telah diriwayatkan oleh Muttafaqun alaih (Bukhari, Muslim). Maka umat Islam diseru supaya melakukan amal kebaikan dan amal jariah seperti bersedekah, solat sunat dan membaca al-Quran kerana yang paling baik adalah pada bulan Ramadhan.

Bulan diturunkan al-Quran

Pada tarikh 17 Ramadan merupakan hari Nuzul Quran iaitu telah diturunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman dan menjadi petunjuk bagi seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Hendaklah anda memperbanyakkan doa dan amalan di hari turunnya al-Quran agar kita akan mendapat keberkatan yang lebih di bulan suci Ramadan. Sebagaimana hadis riwayat meriwayatkan bahawasanya barangsiapa beribadah (menghidupkan) bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap pahala, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Semoga dengan ilmu yang serba sedikit ini dapat kita fahami dan janganlah sia-siakan kesempatan terbaik ini kerana kita tidak akan tahu bila kita akan dipanggil untuk menghadap Allah SWT. Bulan Ramadhan merupakan hadiah terbesar diberikan oleh Allah. Bagi umat Islam disyaratkan supaya berpuasa dengan baik dan betul. Kejarlah ilmu akhirat dengan bersungguh-sungguh kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan datang menjemput dan dengan amalan inilah yang akan menentukan kita adalah seorang hamba-Nya yang soleh. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

- Advertisement -