KEPUTUSAN sebelah pihak PAS memutuskan tahaluf dengan PKR yang Muktamar 63 parti itu di Kota Sarang Semut 30 April lalu lihat hukumnya harus.
Muktamar sebagai pembuat dasar tertinggi dalam parti adalah wajib. Tidak dapat tiada mesti dijalankan tetapi muktamar itu pula menyerahkan muktamadnya kepada Majlis Syura Ulamak.
MSU tentunya tidak akan melanggar keputusan muktamar. Tidak salah MSU membuat keputusan lain kerana muktamar telah memberi kepercayaan kepadanya. Ia boleh buat keputusan lain – tolak, terima atau tawakuf.
Apabila ia diserahkan kepada MSU, selagi MSU belum membuat keputusan, maka logik hukumnya ia sudah jadi harus. Sesuatu yang harus tidak mestinya dilaksanakan. Ia boleh laksana dan boleh tidak laksana. Ia boleh tangguhkan kepada suatu masa yang difikirkan sesuai. Apa jua yang MSU putuskan adalah sesuai dengan mandat yang muktamar beri kepadanya.
Semasa Muktamar membuat keputusan itu ia tidak menyatakan berkuatkuasa serta merta. Tidak ada tempoh dinyatakan bila ia dimulakan.
Ketika rencana ini dibuat, MSU belum mengadakan mesyuarat. Ketika ia tersiar mungkin keputusan sudah dibuat. Sebelum MSU membuat keputusan, maka tidak wajar mana-mana pihak mendahuluinya. Berilah kepada kebijaksasnaan TG Hashim Jasin, Mursyidul Am membuat apa yang terbaik untuk parti itu. TG Presiden dan Ketua Dewan Ulamak pun tidak mengenakan tekanan kepadanya.
Membatalkan tahaluf dengan PKR itu tidak sama dengan membatalkannya dengan DAP. Dengan DAP tiada perbahasan dan pelaksanannya dibuat serta mereta. Dengan PKR dibentangkan kepada Muktamar dan perwakilian diminta mengundi sekalipun Pengerusi Tetap tidak bertanya siapa yang menentang.
Yang muktamar putuskan itu adalah keputusan politik. Sifir politik tidak seperti sifir matematik. Sifir matematik dua campur dua jadi empat. Sifir politik, dua campur dua belum tentu empat. Ia boleh jadi lima atau tiga.
Sebagai keputusan politik, kerana ia dalam rangka berpolitik matang demi kesejahteraan semua, ia tidak memberi tarikh akhir kepada tahaluf itu. Ia boleh dilaksanakan sekarang dan boleh dilaksanakan bila-bila masa sebelum Dun dan Parlimen dibubarkan.
Setakat ini sama ada MSU membuat keputusan atau tidak membuat keputusan, tamat tahaluf itu adalah bermula dalam PRU14 nanti.
Jika ia cenderung untuk mengakhirinya pada PRU itu, ia adalah untuk memberi peluang kepada PKR membuat persediaan untuk menghadapi PRU itu tanpa PAS. PAS tidak letakkan PKR dalam keadaan terperangkap. Ia diberi masa yang cukup untuk membuat apa yang terbaik untuknya dan apa yang terbaik untuk rakyat Selangor sebelum Dun dibubarkan.
Kerana Datuk Azmin Ali itu jadi Menteri Besar adalah politik PAS yang semua orang tidak faham masa itu dan sekarang, maka PAS tidak mahu susahkan Menteri Besar yang ia turut naikkan.
Jika Azmin gantikan mana-mana Exco PAS dengan parti lain dalam kerabat Pakatan Harapannya, maka bermulalah pelaksanaan Muktamar itu serta merta. Jika PKR tolak PAS daripada kerajaan Selangor sekarang, maka boleh dikira yang memutuskan tahaluf itu adalah PKR, bukan keputusan muktamad dari Muktamar PAS.
Azmin banyak membuat reaksi politik yang bijak dan tidak membenci PAS. Dan PJ PAS Selangor yang baru YB Sallehen Mukhyi berdiplomasi seadanya mahu terus menghulur tangan kepada PKR Selangor bagi memelihara kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat pada PRU 13 dulu.
Banyaklah yang meracau dengan politik matang dan sejahtera PAS dengan keputusan harusnya itu. – HARAKAHDAILY 11/5/2017
Rungkai tahaluf PKR adalah harus
- Advertisement -