Ramadhan: Bersediakah kita?

- Advertisement -

KURANG dari sebulan dari sekarang, bulan yang amat ditunggu-tunggu dan dirindui oleh seluruh penganut agama Islam akan menjelang tiba iaitu Ramadhan. Bulan ini diwajibkan kepada semua penganut agama Islam sepertimana dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud;

- Advertisement -

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa.”

Pelbagai keistimewaan di dalam bulan ini  antaranya ia penuh dengan keberkatan dan kerahmatan serta kelebihan yang diberikan oleh Allah berlipatkali ganda bagi setiap hambanya yang beriman. Selain itu, bulan ini juga melatih diri untuk menjadi seseorang yang berdisplin dalam mematuhi segala suruhan Allah.  Tetapi, apakah kita semua bersedia yang sebaiknya untuk menghadapi bulan tersebut? Terdapat beberapa persiapan yang boleh mempersiapkan kita untuk menjalani ibadah puasa ini.

Persiapan rohani

Ramadhan ialah  bulan ibadah. Semua umat Islam menunggu bulan yang penuh rahmat ini kunjung tiba kerana keistimewaan yang begitu banyak. Hal ini kerana bulan ini Allah menurunkan rahmat dan pahala yang berlipatkali ganda setiap amal ibadah yang dilakukan. Sebagai umat Islam yang beriman, kita disarankan untuk mempersiapkan rohani kita dalam merebut keistimewaan tersebut. Segala persiapan hendaklah dilakukan seawal yang mungkin supaya puasa kita nanti menjadi yang istimewa di sisi Allah.
 
Perbetulkan niat kita dalam setiap ibadah kita yang kita lakukan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud “Setiap amalan itu bermula dengan niat”. Tumpukan niat kita kepada Allah semata-mata tanpa ada anasir yang lain. Setiap niat yang ikhlas akan mendapat keredhaan Allah SWT. Berdoalah kepada Allah untuk meluruskan hati kita dalam setiap ibadah yang dijalankan. Dekatkan diri dengan al-Quran, berzikir dan banyak lagi. Selain itu, latih diri untuk sentiasa bersabar dalam apa jua keadaan dan juga situasi. Semoga dengan persiapan yang dilakukan dapat menjadikan puasa kita ibadah yang berkualiti.

Persiapan jasmani

Ahli saintis di negara barat telah mengkaji mengenai ibadah puasa ini. Salah satunya ialah Elson M. Haas M.D, seorang Direktor Medical Centre of Marin telah mengatakan bahawa puasa ini boleh mengubati penyakit seperti Influenza, alergi makanan dan juga asma. Beliau juga mengatakan bahawa puasa ini merupakan satu bahagian yang hilang dalam diet di negara barat. Di sini kita dapat lihat bahawa puasa mempunyai pelbagai kesenangan bagi tubuh badan kita sendiri.

Ibadah puasa di bulan Ramadhan ini bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari yang mana menahani diri daripada makan dan minum. Satu tempoh yang agak lama untuk menjalankan ibadah tersebut. Oleh sebab itu, badan kita sendiri memerlukan tenaga yang banyak untuk menjalani ibadah puasa ini. Maka persiapkan diri dengan sebaiknya seperti berpuasa sunat pada hari isnin dan khamis.  Selain itu, bersenam juga mampu menjadikan kita cergas ketika berpuasa. Tetapi elakkan daripada sebarang aktiviti yang membuatkan badan kita terlalu letih dalam menjalani ibadah tersebut.

Persiapan ilmu

Sebagai seorang muslim yang beriman, wajib bagi kita mempelajari setiap ilmu yang Allah telah letakkan di atas muka bumi ini terutama yang berkaitan dengan ibadah puasa ini. Tidak lama lagi, kita sendiri akan menjalani ibadah puasa. Ia bertujuan untuk kita lebih memahami akan ibadah puasa dan untuk menjalankannya dengan baik dan benar agar Allah SWT terima.

Dengan mempelajari ilmu berkaitan ibadah ini, kita dapat lebih memahami dari segi pembatalan puasa, rukun puasa, sunatnya dan sebagainya. Maka sudah sepatutnya bagi kita mengkaji dan mendalami berkaitan puasa bahkan boleh juga kita mempelajari ibadah yang lain yang berkaitan dengan ibadah ini seperti solat sunat tarawih, membaca al-Quran dan sebagainya. Dengan ilmu ini, kita dapat membuatnya dengan lebih  baik dan teratur. Nabi SAW bersabda yang bermaksud;

“Barangsiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya, maka Allah mudahkan dalam menuntut ilmu agamaNya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Persiapkanlah diri kita dengan sebaiknya agar kita dapat menjalani dengan dan juga supaya Allah terima ibadah kita yang dilakukan. Jadi, bersediakah kita? – HARAKAHDAILY 11/5/2017

Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

- Advertisement -