Kebangkitan Gerakan Islam di India pasca Kesultanan Mughal

- Advertisement -

KESULTANAN Mughal (atau Mongol) adalah kerajaan Islam yang terakhir di India sejak masuknya Islam ke benua kecil ini pada tahun 711 melalui gerakan yang dipimpin oleh Panglima Muhammad al-Qassim di Sind. Setelah itu, perluasan Islam di India dilakukan oleh Kerajaan Ghaznawi (977-1186) apabila Kandahar dan Kabul jatuh ke tangan Islam pada tahun 998, diikuti kejayaan Sultan Mahmud Ghaznawi menawan Delhi dan Gujerat sehingga 1025. India kemudiannya dikuasai pula oleh Kesultanan Ghowri (1000-1215), sebelum terbentuknya Kesultanan Delhi (1206-1526) yang menyebabkan pengaruh Islam berkembang ke seluruh benua India.

- Advertisement -

Kesultanan Delhi yang terdiri dari Dinasti Mamluk (1206-1290), Khilji (1290-1320), Thuglaq (1320-1413), Sayyid (1414-1451) dan Lodi (1451-1526) telah menguasai wilayah utara India atau kawasan Hindustan sekarang. Kerajaan Islam lain yang wujud ialah Kesultanan Deccan (1347-1687) di tengah India, Kesultanan Bangla (1343-1576) di timur India, Kesultanan Gujerat (1398-1513) di barat India, selain Kesultanan Janpur (1349-1477) dan Kesultanan Malwa (1401-1534). Pada 1526, telah bangkit Kesultanan Mughal di Delhi yang kemudiannya menguasai seluruh India pada abad ke-17 dan 18, sebelum ia dijatuhkan oleh British pada 1857. Kejatuhan Kesultanan Mughal pada 1857 telah menamatkan penguasaan Kerajaan Islam di India selama 11 abad sejak 711.

Hal ini menimbulkan kebangkitan umat Islam selepas berlakunya Dahagi 1857. Muncul dua tokoh pembaharu (reformis) yang penting di India ketika ini iaitu Syed Ahmad Khan (1817-1898) dan Dr Mohammad Iqbal (1877-1938) yang dianggap pelopor kebangkitan Islam. Pada 1875, Syed Ahmad Khan mengasaskan Muhammadan Anglo-Oriental College (kemudian dikenali sebagai Aligarh Muslim University) sebagai universiti Islam yang pertama di India, diikuti oleh penganjuran Muhammadan Educational Conference sejak 1886. Melalui persidangan pendidikan ini, pada 30 Disember 1906, umat Islam telah menubuhkan All India Muslim League (AIML) yang dipimpin oleh Agha Khan III. AIML yang memperjuangan pemisahan India dan menyokong British telah tidak mendapat sokongan umat Islam sehingga ia didukung oleh Mohammad Iqbal dan kemunculan Mohamad Ali Jinnah pada 1913 sebagai pemimpin utamanya. Pada 1916, melalui Pakatan Lucknow, AIML telah mengadakan kerjasama dengan parti Kongres India untuk membendung perbalahan Muslim-Hindu di India, sehingga akhirnya timbul gagasan menubuhkan Pakistan untuk memisahkan Muslim dan Hindu.

Di sebalik gerakan AIML yang berbau sekular kebangsaan dan pro British, dua reformis Islam yang muncul di Delhi lebih awal iaitu Syah Waliyullah ad-Dehlawi (1703-1762) dan Syed Jamaluddin al-Afghani (1838-1897) turut memberi pengaruh. Al-Afghani yang berada di Delhi pada 1855-1856 turut menyaksikan saat kejatuhan Kesultanan Mughal, telah mengemukakan gagasan Pan-Islamisme kepada Khalifah Othmaniyah yang turut berpengaruh di India dan Alam Melayu. Oleh kerana Kesultanan Mughal adalah cabang kekhalifahan Othmaniyyah sejak 1526, pergolakan politik yang menjatuhkan Sultan Abdul Hamid II di Istanbul oleh gerakan Revolusi Turki Muda pada 1908 telah dianggap ancaman yang menggugat kekhalifahan. Kesan Perang Dunia Pertama (1914-1918) yang turut melibatkan Khilafah Othmaniyah telah mewujudkan Gerakan Khalifat di India antara 1919-1924 yang dipimpin oleh Muhammad Ali dan Shaukat Ali bersaudara.

Dalam pada itu, pada 1867, ulamak-ulamak pengikut ad-Dehlwi seperti Abdul Rashid Ahmad Gangohi, Mohammad Qassim Natotvi dan lain-lain telah menubuhkan Darul Ulum Deoband, sebuah universiti yang menentang Pakistan. Kerana kegagalan dasar AIML, mereka kemudiannya menubuhkan Jamaat Ulamak Hind pada 1916 untuk membela dan mempertahankan Islam dan menjadi induk gerakan-gerakan ulamak di India. Jamaat Ulamak Hind ini dipimpin oleh Maulana Syed Hussain Ahmad Madani dengan didukung oleh keseluruhan ulamak Deoband. Mereka kemudiannya bekerjasama dengan Kongres India dalam perjuangan kemerdekaan dan perpaduan Muslim-Hindu, tetapi memperjuangkan India sebagai sebuah negara Islam dengan menolak pemecahan India-Pakistan. Beberapa ulamak Deoband seperti Sheikh Rahmatullah Khan dan Maulana Ubaidullah Sindi yang kuat memperjuangkan negara Islam telah dibuang negeri oleh British dan menubuhkan Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah di Mekah. Muhammad Iqbal yang awalnya menyokong AIML, telah beralih mendukung Jamaat Ulamak Hind kerana mahukan sebuah negara yang melaksanakan syariat.

Kegagalan AIML mendukung perjuangan Islam kerana pengaruh sekular kebangsaan, kelumpuhan Gerakan Khalifat pada 1924 ekoran penangkapan pimpinannya dan perpecahan Jamaat Ulamak Hind lantaran isu pembentukan Pakistan sepanjang dekad 1930-an, telah mendorong seorang tokoh ulamak India, Syed Abul A’la al-Maududi membentuk gerakan Islam berpusat di Pathankot dengan sokongan Muhammad Iqbal pada 1938, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Jamaat Islami pada 26 Ogos 1941 dengan matlamat menegakkan negara Islam. Selepas pemecahan India-Pakistan pada 1947, Jamaat Islami juga turut berpecah mengikut negara di seluruh benua India.

Perkembangan gerakan Islam di India selepas 1857 telah memberi kesan besar terhadap gerakan Islam di Tanah Melayu. Pada peringkat awal, Gerakan Khalifat yang mendukung Pan-Islamism mula berkembang di Singapura dan memberi pengaruh kepada Jam’iyat Khair di Jakarta, di mana ia kemudiannya berkembang dalam Sarekat Islam. Ketika berlakunya pemberontakan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu pada 1924-1928 yang menjulang “Bendera Stambul (Istanbul),” British segera merumuskannya sebagai “wing of Sarekat Islam.” Selepas 1930, mula terdapat pelajar-pelajar Melayu yang belajar di India dalam sistem Deoband dan juga Aligarh, selain mengikuti pengaruh Deoband di Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah di Mekah. Akhirnya, pengaruh India menjadi dominan dalam politik Islam di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.

Dalam aliran Aligarh, tokoh terbesar yang lahir ialah Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan Dato’ Abu Bakar Umar (bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS). Manakala aliran Deoband pula melahirkan Tuan Guru Haji Abbas Mohamad (bekas Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu Utara), Tuan Guru Haji Azhari Abdul Razak (bekas Pesuruhjaya PAS Kedah), Mufti Haji Ishak Baharom (bekas Ahli Majlis Syura PAS), Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (bekas Mursyidul Am PAS) dan lain-lain. Sedangkan menerusi Madrasah Shaulatiyah al-Hindiyah, sebahagian besar ulamak pengasas PAS termasuk Mufti Haji Ghazali Abdullah (bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS) dan Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh (bekas Ketua Dewan Ulamak PAS) adalah antara alumninya.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 11/5/2017

- Advertisement -